Friday, June 25, 2010

EPIC Labur RM30 Juta Bangun Fasa II (b) Kawasan Perindustrian KSB

Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), anak syarikat kerajaan Terengganu, melabur RM30 juta bagi membangunkan kawasan perindustrian untuk industri petroleum, Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) Fasa II (b) di Kemaman membabitkan kawasan seluas 11.2 hektar.

Pengerusinya Datuk Tik Mustaffa berkata, kerja-kerja meratakan tapak dijangka bermula September ini dan siap dalam tempoh enam bulan.

"Kita menjangkakan KSB Fasa II (b) ini akan dibuka dalam enam bulan selepas kerja meratakan tapak dilakukan pada September nanti dan apabila dibuka kelak, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan pangkalan perbekalan yang menyokong industri petroleum itu hampir 200 hektar.

"Pembukaan kawasan baru itu mampu memuatkan tambahan 50 lagi syarikat baru menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang beroperasi di situ hampir 300 syarikat," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) EPIC di Kemaman, semalam..

Pada masa ini terdapat 250 syarikat sokongan gas dan minyak beroperasi di situ, termasuk tujuh syarikat minyak utama iaitu Petronas, Esso, Cari Gali Hess, Talisman, Petrofac, Newfield dan Murphy.

Sebanyak 10 gudang baru dijangka dibina di kawasan itu manakala selebihnya akan dijadikan perkarangan terbuka.

Sementara itu, bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac tahun ini, kumpulan mencatatkan kenaikan 12 peratus dalam perolehan kepada RM47.36 juta berbanding RM42.23 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 14.9 juta bagi suku pertama tahun ini, naik 27 peratus berbanding RM11.7 juta yang diperoleh pada suku yang sama tahun sebelumnya.

No comments:

Post a Comment