Saturday, June 26, 2010

Terengganu anjur Festival Gamelan Sedunia

Kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan menganjurkan Festival Gamelan Sedunia 2010 selama tiga hari bermula 23 Julai ini bertempat di Dataran Shahbandar dekat sini.

Penolong Kurator, Perhubungan dan Pemasaran Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Saberi Muda berkata, penganjuran kali kedua festival tersebut bertujuan memberikan ruang maklumat dan juga hiburan yang bermutu tinggi kepada masyarakat setempat.

Katanya, melalui penganjuran itu penduduk setempat berpeluang melihat dan menikmati alunan muzik beberapa kumpulan gamelan dari luar negara seperti Indonesia, Jepun dan United Kingdom.

"Festival ini menjadi platform dalam usaha kerajaan mengetengahkan seni gamelan Terengganu kepada seluruh peminat alat muzik ini dari seluruh dunia.

"Ia juga merupakan satu ruang untuk mendedahkan penggiat gamelan tempatan berganding bahu dan mendapatkan pengalaman yang maksimum daripada pemuzik serta pencinta gamelan seluruh dunia," katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Ujarnya lagi, kira-kira 15 kumpulan tempatan dan luar negeri akan menyertai pertandingan tersebut.

Antaranya ialah Kumpulan Gamelan Bali, Eropah, Jepun, Kumpulan Cak Lempong Bukit Tinggi, Akademi Seni Negeri Terengganu, Kumpulan Warisan Terengganu, Istana Budaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak.

Tambahnya, bersempena dengan program berkenaan, satu bengkel selama dua hari turut diadakan yang memfokuskan kepada pengenalan permainan alatan muzik gamelan Melayu, Bali dan juga Jawa.

"Tiga orang pakar muzik gamelan akan dijemput khas bagi mengendalikan bengkel ini.

"Kita berharap dengan adanya bengkel ini dapat melahirkan generasi yang celik gamelan agar warisan ini dapat dikekalkan," ujarnya.

Gambar hiasan

1 comment:

  1. tahu tak berapa banyak sekolah dapat pergi ke festival ini

    ReplyDelete