Monday, June 7, 2010

Guna teknologi moden ternak burung walet

utusanterengganu@utusan.com.my

Penggunaan peralatan berteknologi tinggi dan moden dalam perusahaan ternakan sarang burung walet mampu mengatasi kegagalan lebih kurang 70 peratus pengusaha industri itu di negara pada masa kini.

Ini kerana menurut kajian seorang konsultan penternakan burung walet, Phang Kam Wah yang juga merupakan pengasas Syarikat Nest Tech System Sdn. Bhd., melalui penggunaan peralatan berteknologi moden, ia membolehkan penternak sarang burung walet dijalankan secara semulajadi dan tidak mengganggu persekitaran.
Katanya, ia juga dapat meningkatkan hasil yang lebih baik berbanding menggunakan kaedah tradisional seperti yang dijalankan di Indonesia.

''Walaupun industri penternakan sarang burung walet dipelopori oleh Indonesia sejak 60 tahun lalu, namun mereka masih menjalankan penternakan secara konservatif dan tradisional.

"Ini menyebabkan hasil yang diperolehi tidak memberangsangkan malah sebanyak 80 peratus pengusaha mengalami kegagalan," katanya pada Seminar Penternakan Sarang Burung Walet Berteknologi Tinggi di Wisma Seri Amar di Kuala Terengganu kelmarin.

Turut hadir, Presiden Persatuan Perdagangan Burung Walet Negeri Terengganu, Datuk Tok Teng Sai.
Mengulas lanjut, Kam Wah berkata, peluang pengusaha dalam industri penternakan sarang burung walet amat cerah apabila teknik penternakannya di negara ini semakin berkembang dan berinovasi.

Katanya, teknik pengurusan rumah burung walet di negara yang semakin teratur menjadikan industri tersebut lebih baik berbanding negara-negara pengeluar lain.

"Melalui kaedah penternakan rumah burung walet berteknologi tinggi, pengusaha hanya terdedah kepada risiko kegagalan sebanyak 30 peratus sahaja dan sebarang masalah yang timbul lebih mudah dikesan dengan penggunaan alatan moden.

"Antara peralatan yang boleh digunakan ialah sistem kawalan kelembapan jenis ionizer, sistem penyejukan bumbung automatik, cecair penyingkir rumah walet, penguji kelembapan dan suhu, corong pembesar suara jarak jauh, sarang burung palsu dan papan walet sudut khas," jelasnya.

Dengan adanya Garis Panduan Industri Burung Walet yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, beliau yakin industri itu bakal memberi pulangan kepada negara amnya dan pengusaha tempatan khasnya.

No comments:

Post a Comment