Monday, June 14, 2010

Hoki – Terengganu juara Kumpulan D bertemu Wilayah

Melaka mengejutkan penyandang juara Wilayah Persekutuan dengan kemenangan besar 5-1 dalam perlawanan hoki lelaki Kumpulan A pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-13 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bukit Serindit Melaka.

Bagaimanapun, Wilayah yang menewaskan Kedah 5-0 turut melayakkan diri ke suku akhir untuk menentang juara Kumpulan D, Terengganu.

Keputusan lain pada perlawanan akhir peringkat kumpulan semalam ialah Terengganu mengalahkan Kelantan 5-4, Negeri Sembilan menewaskan Johor 4-1, Pulau Pinang dan Perak terikat 1-1, dan Pahang menewaskan Selangor 3-1.

Kemenangan kedua pasukan tuan rumah yang mengatasi Kedah 2-0 dalam perlawanan pertama sekaligus meletakkan Melaka menjuarai kumpulan itu untuk bertemu naib juara Kumpulan B, Johor di peringkat suku akhir pada Selasa ini.

Melaka mendahului Wilayah 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Fathi Kamel pada minit ke-21 dan seterusnya menambah dua gol melalui Mohd Saful Hafiz dan Amirullah Zainal pada minit ke-38 dan minit ke-41.

Gol tunggal Wilayah dijaringkan oleh Mohd Zulhairi pada minit ke-56, sebelum Hairulnizam Maizan dan Mohd Saiful melengkapkan kemenangan bergaya Melaka menjaringkan gol pada minit ke-59 dan minit ke-65.

Empat pasukan lain yang turut layak ke suku akhir ialah juara Kumpulan B, Negeri Sembilan yang akan berentap dengan naib juara Kumpulan C, Pulau Pinang manakala juara Kumpulan C, Perak akan bertemu naib juara Kumpulan D, Pahang.

No comments:

Post a Comment