Wednesday, June 9, 2010

Hospis sedia khidmat rawatan kanser percuma di rumah

Berita baik untuk rakyat Terengganu yang menghidap kanser!

Persatuan Hospis Terengganu menyediakan khidmat rawatan kepada penghidap kanser di rumah pesakit secara percuma bagi mengurangkan penderitaan dan kesakitan yang ditanggung.

Yang Dipetuanya, Toh Puan Dr Rahmah Elias berkata, perkhidmatan rawatan ke rumah pesakit yang disediakan pihaknya tidak sama seperti perkhidmatan yang disediakan persatuan hospis di negeri lain.

“Perkhidmatan yang kita sediakan adalah dengan pergi sendiri ke rumah pesakit dan kaedah ini tidak sama dengan negeri lain yang mempunyai hospital sendiri.

“Menerusi lawatan ini kita turut menyalurkan bantuan tetapi bukan dalam bentuk wang sebaliknya kita cuba membantu pesakit mendapatkan bantuan yang diperlukan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Hospis Terengganu 2010 di Primula Beach Hotel, kelmarin.

Dr Rahmah berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pakar rujuk bagi pesakit.

Justeru, pihak tertentu yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu boleh menghubungi ahli persa-tuan.

“Kita turut menyediakan perkhidmatan sokongan di rumah seperti pemberian ubat dan sesi kaunseling kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Perkhidmatan pinjaman peralatan seperti ‘oxygen concentrator’, kerusi roda, ‘commode’ dan katil juga disediakan,” katanya.

Bagi membolehkan pesakit kanser menikmati perkhidmatan yang disediakan cawangan persatuan turut diwujudkan di Kemaman selain sedia ada.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan terutama bekas penghidap kanser atau ahli keluarga mereka untuk menyertai Persatuan Hospis Terengganu bagi membantu pesakit kanser di negeri ini.

“Khidmat sukarelawan diperlukan untuk menghantar pesakit menerima rawatan di hospital.

“Ia penting bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan selain memberi sokongan rohani dan jasmani kepada pesakit,” katanya.

No comments:

Post a Comment