Tuesday, June 29, 2010

Jumlah miskin tegar menurun drastik

Jumlah keluarga miskin tegar di Terengganu menunjukkan penurunan angka drastik daripada 3,180 keluarga miskin tegar pada Disember 2009 kepada 480 sehingga pertengahan Jun baru-baru ini.

Pegawai Kemajuan Negeri, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (PPPNT), Ahmad Abdullah berkata, penurunan ini menunjukkan kejayaan yang dicapai hasil daripada pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan penyediaan peluang pekerjaan.

“Apa yang membanggakan kita, negeri ini juga turut berada di tangga ketujuh dalam negara untuk jumlah keluarga miskin tegar berbanding Disember lalu iaitu di tangga keempat,” katanya.

Menurutnya, PPPNT akan cuba membasmi keluarga miskin tegar di negeri ini kepada angka sifar pada Oktober ini atau selewat-lewatnya sebelum penghujung 2010 agar Terengganu dapat keluar daripada kelompok kemiskinan.

“Kita mengharapkan keluarga miskin tegar yang telah berjaya keluar daripada garis kemiskinan dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk menjana pendapatan keluarga kelak dan turut mendorong sahabat yang lain berusaha lebih gigih,” katanya.

No comments:

Post a Comment