Tuesday, June 29, 2010

Kerajaan Negeri Bantu Pelajar Rhu Rendang Ke Universiti

Kira-kira 500 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat matrikulasi dan universiti awam serta swasta di seluruh negara tahun ini.

Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku berkata, sehingga kini jumlah yang berjaya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke pusat matrikulasi kira-kira 100 orang manakala 160 lagi ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma dan 192 bagi pengajian ijazah ke universiti awam.

Menurutnya, jumlah itu membanggakan dan ia tidak termasuk pelajar yang berjaya ditawarkan ke pusat pe-ngajian tinggi dan universiti swasta.

“Jumlah ini diperoleh berdasarkan rekod bagi mereka yang mendaftar dengan kita bagi membolehkan mereka layak menerima ban-tuan wang pendahuluan Kerajaan Negeri.

“Ia membuktikan pelajar negeri ini semakin cemerlang, hasil kerjasama dan komitmen pelbagai pihak. Bagi pihak Kerajaan Negeri khususnya, kita akan terus menyokong bagi membolehkan anak Terengganu terus diberikan perhatian sewajarnya dalam mendapatkan pendidikan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara ke Universiti di Hotel Seri Malaysia Marang, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Tengku Lela Segara, Roslan Ngah.

Pada majlis itu, seramai 44 lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekolah berkenaan yang berjaya ditawarkan ke universiti di seluruh negara, diraikan sebagai tanda komitmen dan memberikan semangat kepada pelajar.

Menurutnya, beliau harap semua pelajar cemerlang meneruskan kejayaan di menara gading, sebagai perang-sang kepada pelajar junior di sekolah mereka.

“Pelajar cemerlang inilah menjadi harapan membawa pulang ijazah seterusnya membantu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

No comments:

Post a Comment