Wednesday, June 30, 2010

Kem MyHeSS Sesi Kedua Hari Ini

MB turut menyertai program MyHeSS Eksekutif 2010, 2 Jun lalu. - Gambar Zulkifli Putra

Kem MyHeSS Eksekutif 2010 disambung semula hari ini dengan beberapa program yang disusun dan acara penutupnya oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Program membabitkan pemeriksaan, khidmat nasihat dan penjagaan kesihatan untuk penjawat awam itu akan membabitkan interpretasi keputusan penilaian kesihatan, kaunseling penilaian kesihatan termasuk tahap kesihatan, tahap kecerdasan dan pemakanan selain ceramah minda sihat.

Sesi pertama kem ini dijalankan 2 dan 3 Jun lalu dan akan membabitkan hampir 50 penjawat awam termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kerajaan Negeri.

Melalui program itu, semua pemeriksaan dilakukan meliputi pemeriksaan fizikal, berat badan, kandungan lemak dalam tubuh dan pemeriksaan darah.

Selain itu, juga dijalankan ujian kecergasan bagi melihat tahap kecergasan dalam badan sama ada stabil atau memerlukan sesi rawatan selanjutnya.

Pada sesi pemeriksaan ini, jika masalah kesihatan dapat dikesan, nasihat akan terus diberikan oleh pegawai kesihatan dan jika penyakit itu kronik, rujukan perlu dibuat secara terus kepada pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Jelas bahawa sambutan yang diterima daripada kepimpinan negeri sentiasa positif walaupun masing-masing mempunyai komitmen kerja.


. Melalui jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan tidak mustahil masalah kesihatan dapat dicegah dari peringkat awal, selain mengurangkan risiko tidak dijangka khususnya untuk pentadbir dan pemimpin politik.

Ahmad Saiud pada 2 Julai lalu berkata pegawai kerajaan dan kepimpinan negeri perlu sihat bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna.

Apabila mereka tidak sihat, akan banyak masalah kepada penjawat awam untuk melicinkan perjalanan pentadbiran negeri.

Beliau menganggap pemeriksaan kesihatan yang kerap di kalangan pemimpin politik dan pegawai amat perlu dan kerana itu kerajaan negeri menganjurkan kem pemeriksaan itu selama dua hari berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan menjelaskan, pemeriksaan kesihatan secara teratur dan berjadual terutama kepada barisan kepimpinan negeri sangat penting bagi memantapkan sistem pentadbiran supaya tahap produktiviti dapat dipertingkatkan.

Katanya, program kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) itu merupakan program pemeriksaan kesihatan tahunan.


“Langkah Kerajaan Negeri mengambil pendekatan ini supaya sebahagian daripada rawatan penyakit tidak berjangkit terutamanya bagi program Jabatan Kesihatan.

“Kita akan memberi tumpuan kepada pemeriksaan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, jantung, buah pinggang dan pelbagai penyakit berkaitan sistem tubuh kepada Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan isteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kanan kerajaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment