Tuesday, June 15, 2010

Kementerian Kewangan Lulus Peruntukan Bina Jambatan Bukit Kuang

Kerajaan Negeri tidak berbohong atau lepas tangan.

Memang projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang diserahkan kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk dilaksanakan.

Ini bermakna ia tidak lagi di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri walaupun tender membinanya pernah dikeluarkan.

Ahmad Said berkata Kementerian Kewangan telah meluluskan pembinaan Jambatan Bukit Kuang, melibatkan peruntukan RM200 juta.
Jambatan baru yang akan dibina di bawah program ECER itu mempunyai empat lorong setinggi 15 meter telah diluluskan beberapa hari lepas untuk diserahkan kepada kontraktor untuk membinanya.

"Penubuhan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) adalah untuk mempercepatkan proses pembangunan wilayah itu dan pembinaan jambatan itu merupakan satu di antara proses pembangunan yang dirancang di Terengganu.

"Di samping itu kita ada beberapa projek lain seperti pertanian dan penternakan di mana projek ternakan kambing di dua kawasan di daerah Hulu Terengganu dan Setiu merupakan projek pertama," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian Kerjasama Penternakan Kambing ECER antara Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Mardi dan perjanjian Komersil Penternakan Kambing antara ECERDC, JPV dan Terengganu Agrotach Development Corporation (TADC).

Setiap hari dianggarkan LEBIH 5,000 orang yang menggunakan jambatan itu untuk pergi dan balik dari tempat kerja.

Ia sesak setiap pagi antara 7 sehingga jam 8.30 pagi, dan dari jam 5 petang sehingga jam 8 malam.

Isu jambatan ini mendapat perhatian banyak pihak malah pembangkang, khususnya PAS pada Mei 2009 melalui Majlis Tindakan DUN (MTD) PAS Chukai melancarkan kempen menghimpunkan 10,000 tandatangan bantahan bagi menghantar satu memorandum mempercepatkan pembinaan jambatan Bukit Kuang ke Bakau Tinggi.

Pengerusi MTD Chukai, Haji Hanafiah Ramly berkata mulai tarikh itu beliau akan kempen di seluruh Kemaman, kempen untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 10,000 tandatangan,

“Ia bagi memastikan satu memorandum dihantar kepada Perdana Menteri Malaysia supaya mempercepatkan pembinaan jambatan Bukit Kuang,”jelasnya.

Beliau tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh kerajaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebelum itu bahawa pembinaan jambatan itu akan dimasukkan dalam program ECER.

Padahal, katanya, pembinaan jambatan tersebut telah dirancang sejak tahun 2000 dan telah diluluskan oleh kerajaan.

Katanya kelewatan pembinaan jambatan tersebut telah menyebabkan kegelisahan dan kesusahan kepada warga Kemaman.

“Kalau beri (pembinaan) kepada ECER, maka berecer (lambat) lah dia, kami mahu kerjasama dari seluruh warga Kemaman,

“Untuk menurunkan tandatangan bagi menyatakan kegelisahan kerana terpaksa lalu jambatan satu lorong sahaja,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang dihubungi sebuah portal proPAS 19 Mei 2009 berkata, rekod Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menunjukkan Tender pembinaan jambatan di Sec 392 Laluan Ft 03 (Bukit Kuang - Bakau Tinggi) tersebut telah dikeluarkan pada 19 September, 2006 dan ia dijangka siap pada 14 Disember, 2009.

“Tender itu telah ditutup dan sebuah syarikat yang bernama Marimas Sdn Bhd telah mendapat tender kerja-kerja membina jalan dan jambatan yang bernilai RM 30.4 juta itu,

“Projek tersebut telah disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke 9, dimana Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU-JPM) telah menyenaraikan projek membina jambatan Bukit Kuang - Bakau Tinggi dan diluluskan untuk dikeluarkan tender pada 18 Julai, 2006,”katanya yang menambah, pihak ICU Terengganu turut menyenaraikan projek tersebut sebagai projek No. 5 yang mempunyai keutamaannya.

Katanya penganugerahan projek pembinaan jambatan tersebut kepada Marimas Sdn Bhd telah disahkan oleh JKR Terengganu melalui dokumen yang dikeluarkan.

Malangnya kata beliau, sehingga pada tarikh kenyataannya dibuat, warga Chukai khususnya yang bekerja di sebelah utara bandar Chukai, samada di Teluk Kalong, Kerteh dan sebagainya, terpaksa menghadapi detik-detik mencabar pagi dan petang ketika waktu hendak pergi dan balik kerja.

“Kenderan terpaksa beratur untuk merentasi jambatan sempit yang memang tidak relevan lagi dengan kemajuan sekarang,

“Kita tidak tahu, mengapakan kerajaan masih tidak memulakan kerja-kerja pembinaan jambatan itu dan sehingga kini ia masih disenaraikan sebagai projek yang belum dimulakan, “katanya menurut laporan sebuah portal proPAS, pada 19 Mei lalu.


No comments:

Post a Comment