Juara bertahan Terengganu akan bertemu dengan Wilayah Persekutuan pada perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 di Stadium Hang Tuah Melaka, esok (Rabu).
Kedua-dua pasukan itu layak ke peringkat tersebut selepas menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir di sini, hari Isnin.Dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah petang ini, Terengganu membelasah Sabah 5-0 di mana Joseph Kallang Tie menyumbang jaringan hatrik pada minit ke-19, 49, dan 61, diikuti Wan Mohd Aliff Wan Jamil pada minit ke-70 dan Shamsul Kamal Mohamad minit ke-88.
Wilayah Persekutuan pula menewaskan Pahang 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Fatimah.
Dua gol Wilayah Persekutuan itu dijaringkan Mohd Rosdi Zakaria pada minit ke-70 dan Ahmad Hazwan Bakri minit ke-93.
Dua lagi pasukan yang layak ke separuh akhir ialah Selangor dan Kedah di mana mereka dijadual bertemu di Stadium Hang Tuah malam esok pukul 8.45 malam.
Selangor melangkah bergaya ke separuh akhir selepas membelasah Kelantan 5-0 dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah, malam ini.
Gol Selangor dijaringkan Farderin Kadir pada minit ke-34 dan 90, G.Mahatevan pada minit ke-43 dan 53, dan Mohd Azrif Nasrulhaq pada minit ke-93.
Kedah layak ke separuh akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan di padang Sekolah Menengah Seri Kota di sini, hari ini.
Gol Kedah dijaringkan Mohd Shafiq Jamal pada minit ke-44 dan 47 manakala gol Negeri Sembilan oleh Abdul Rahman Abdul Ghani minit ke-55.
No comments:
Post a Comment