Tuesday, June 22, 2010

Kerteh antara 10 Cawangan Baharu Bank Rakyat Tahun Ini

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) bercadang membuka 10 cawangan baharu di seluruh negara pada tahun ini, kata Pengurus Besar Operasi Cawangan bank itu, Ahmad Kidzbullah Ridzuan.

Katanya tiga daripada cadangan cawangan baharu itu akan dilaksanakan di Petra Jaya, Limbang, dan Serian di Sarawak, tiga lagi di Putatan, Semporna, dan Kota Marudu di Sabah, Kuala Nerang (Kedah), Bentong dan Bera (Pahang) dan Kerteh (Terengganu).

"Kini, Bank Rakyat telah membuka dua cawangan baru iaitu di Seksyen 23 Shah Alam dan Tanjung Karang, Selangor (pada tahun ini)" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cawangan Jalan Pinang , Kuala Lumpur semalam.

Sehingga kini, Bank Rakyat mempunyai 124 cawangan dengan lebih 400 ATM dan mesin deposit tunai (CDM) serta cawangan Ar-Rahnu X'Change di seluruh negara.

Mengenai Cawangan Jalan Pinang, beliau berkata Bank Rakyat telah memperuntukkan RM497,000 untuk cawangan itu yang dahulunya dikenali sebagai Cawangan Angkasa Raya.

Ia beroperasi di Angkasa Raya pada 1992 dan merupakan cawangan Bank Rakyat ke-11 di sini.

Katanya nama Cawangan Angkasa Raya ditukar kepada cawangan Jalan Pinang bertujuan menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di sekitar kawasan itu.

Bank Rakyat kini berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai institusi kewangan Islam nombor satu di Malaysia dengan menawarkan pelbagai kemudahan kewangan seperti produk perbankan konsumer, pembiayaan komersil serta pelbagai perkhidmatan lagi.

No comments:

Post a Comment