Tuesday, June 22, 2010

Dulu merempit, kini buat kebajikan

Ahli Kelab Rider Speed Machine Touring bergambar bersama ahli Kelab Motor Terengganu dan sebahagian penghuni asrama Anak-Anak Yatim Darul Falah, di Marang, baru-baru ini. – Gambar Utusan

Merekalah ‘raja’ di jalan-jalan raya di sekitar Singapura. Sebut sahaja Rider Speed Machine (RSM) Racing Team, nama tersebut akan digeruni oleh mat-mat rempit dan samseng jalanan di negara republik itu.

Ini kerana RSM yang turut dikenali sebagai ‘Racing Sampai Mati’, amat ganas ketika menyertai lumba motosikal haram yang diadakan.

Namun, atas usaha ahli jawatankuasa sebuah masjid di Singapura, RSM kini berubah daripada kelab lumba haram kepada kelab permotoran yang melakukan kerja-kerja kebajikan.

Kerja-kerja amal terbaru yang dilakukan oleh kelab tersebut adalah menyertai konvoi amal ke Terengganu dan melawat Asrama Anak-Anak Yatim Darul Falah di Marang.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Masjid Omar Salmah, Yahya Mohamed berkata, dia mula mendekati kelab tersebut dengan menyertai majlis anjuran ahli-ahli RSM seperti sambutan ulang tahun penubuhan kelab itu.

"Nama RSM memang terkenal di Singapura dalam pelbagai kegiatan dan saya mengambil masa lima tahun untuk mengajak mereka menyertai program anjuran masjid.

"Saya terpaksa mencari pendekatan-pendekatan baru dan bersesuaian yang dapat menarik mereka menyertainya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, dia pada mulanya menggunakan kesempatan meminta bantuan ahli-ahli kelab untuk menghantar makanan kepada fakir miskin.

Katanya, dengan majlis sempena sambutan Aidilfitri dan Maulidur Rasul, pihak pengurusan masjid akan memasak makanan dan kami meminta ahli-ahli kelab pemotoran ini untuk menghantar makanan.

"Selepas menghantar makanan itu buat kali pertama, ia menimbulkan rasa terharu di atas kesusahan yang dialami oleh fakir miskin,” katanya.

Presiden Kelab Rider Speed Machine (RSM) Touring, Mohd. Satria Rasudi, 42, berkata kesusahan yang dialami penduduk miskin yang disaksikan semasa menyertai program amal mendorong beliau untuk menjadi anggota masyarakat yang lebih baik.

Menurut Mohd. Satria, ketika menubuhkan RSM Racing Team 12 tahun lalu, dia bersama rakan-rakannya tidak akan melepaskan peluang menyertai lumba-lumba haram yang diadakan di sekitar jalan raya di Singapura.

''Lebih menarik jika ada pihak lawan menawarkan sekian banyak pertaruhan, saya akan menggandakan jumlahnya," katanya ketika ditemui semasa konvoi amal di Asrama Anak-Anak Yatim Darul Falah di Marang.

Juruteknik di sebuah syarikat swasta di Singapura itu berkata, ketika berlumba, dia akan membiarkan pencabar-pencabarnya itu mendahului terlebih dahulu dan diikuti oleh rakan-rakannya dari kelab itu.

''Mereka akan menggunakan kayu dan pelbagai kaedah lain untuk menjatuhkan lawan dan ini akan memudahkan saya menamatkan perlumbaan tanpa sebarang cabaran," ujarnya.

Ayah kepada empat orang anak itu berkata, dia pernah patah kaki kiri dan sebaik plaster kakinya itu dibuka, dia terus merempit di Kota Tinggi, Johor.

''Akibat terjatuh, saya terpaksa bermalam sekali lagi di hospital," katanya yang beristerikan Norhasnah Adam, 34, juga pernah terlibat dalam kegiatan merempit.

Mohd. Satria menambah, dia pernah ditahan polis beberapa kali namun dibebaskan tanpa sebarang dakwaan.

''Dahulu apabila ditahan hanya denda dikenakan, namun sekarang mereka yang ditahan kerana lumba haram atau merempit juga akan dikenakan hukuman penjara.

''Jadi mungkin ini yang menyebabkan masalah rempit di Singapura semakin berkurangan," katanya.

Katanya, dia mula tertarik untuk menyertai program amal apabila Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Masjid Omar Salmah di Singapura, Yahya Mohamed, meminta bantuan untuk menghantar makanan kepada fakir miskin.

''Ketika menghantar makanan, saya lihat seorang kanak-kanak tinggal bersama keluarga di rumah yang tiada dinding. Keadaan itu menyentuh hati saya.

''Saya bersama rakan-rakan kemudian membuat keputusan untuk terus menawarkan diri melakukan kerja-kerja amal ini," katanya.

Mohd. Satria berkata, dia bersama rakan-rakan kemudian semakin kurang berlumba dan kini lebih kepada menyertai sukan permotoran.

''RSM Racing Team kemudian ditukar kepada Kelab RSM Touring bagi menukar imej kami kepada lebih baik,'' jelasnya.

Beliau menasihatkan generasi muda yang terlibat dalam kegiatan merempit supaya lebih berdisiplin dan sentiasa mengingatkan keluarga.

Yahya menambah, di atas perasaan tersebut, mereka terus menawarkan diri secara sukarela untuk membantu masjid membuat kerja-kerja amal selepas itu.

Beliau berkata, selepas lima tahun, beberapa kelab lumba lain turut menyertai usaha tersebut.
‘‘Kini banyak program dilakukan selepas penyertaan ini termasuk juga kelas berbentuk keagamaan,” katanya.

Beliau memberitahu, masalah mat rempit di Singapura dilihat juga semakin berkurangan dengan mengadakan aktiviti berkenaan.

Utusan Malaysia, 22 Jun 2010

No comments:

Post a Comment