Saturday, June 5, 2010

Kesihatan pemimpin politik, pegawai kanan diperiksa

Pegawai kerajaan dan kepimpinan negeri perlu sihat bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna.

Apabila mereka tidak sihat, akan banyak masalah kepada penjawat awam untuk melicinkan perjalanan pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menganggap pemeriksaan kesihatan yang kerap di kalangan pemimpin politik dan pegawai amat perlu dan kerana itu kerajaan negeri menganjurkan kem pemeriksaan itu selama dua hari, bermula Rabu (2 Jun 2010) lalu.

Beliau menyatakannya selepas menjalani ujian kesihatan bagi dirinya dan semua Exco kerajaan negeri ketika menghadiri Kem MyHess Eksekutif tahun 2010 sesi 1 di ruang makan tingkat 18, Wisma Darul Iman (WDI) kelmarin.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan pula berkata, pemeriksaan kesihatan secara teratur dan berjadual terutama kepada barisan kepimpinan negeri sangat penting bagi memantapkan sistem pentadbiran supaya tahap produktiviti dapat dipertingkatkan.

Katanya, program kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) itu merupakan program pemeriksaan kesihatan tahunan.

“Langkah Kerajaan Negeri mengambil pendekatan ini supaya sebahagian daripada rawatan penyakit tidak berjangkit terutamanya bagi program Jabatan Kesihatan.

“Kita akan memberi tumpuan kepada pemeriksaan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, jantung, buah pinggang dan pelbagai penyakit berkaitan sistem tubuh kepada Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan isteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kanan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, dalam program itu, semua pemeriksaan akan dilakukan meliputi pemeriksaan fizikal, berat badan, kandungan lemak dalam tubuh dan pemeriksaan darah.

“Selain itu, kita juga akan menjalankan ujian kecergasan bagi melihat tahap kecergasan dalam badan sama ada stabil atau memerlukan sesi rawatan selanjutnya.

“Dalam sesi pemeriksaan ini, jika masalah kesihatan dapat dikesan, nasihat akan terus diberikan oleh pegawai kesihatan dan jika penyakit itu kronik, rujukan perlu dibuat secara terus kepada pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya.

Nordiyanah berkata, setakat ini sambutan yang diterima daripada kepimpinan negeri sentiasa positif walaupun masing-masing mempunyai komitmen kerja.:

“Kita yakin adanya jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan tidak mustahil masalah kesihatan dapat dicegah dari peringkat awal, selain mengurangkan risiko tidak dijangka,” katanya.

No comments:

Post a Comment