Saya harap dengan adanya e-Book ini, anak saya dapat meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat, walaupun keadaan fizikal dan mindanya tidak seperti murid lain, namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu proses pembelajarannya,” kata Maimun Abdul Rahman, 50, ibu kepada salah seorang murid yang menerima bantuan komputer riba e-Book daripada Kerajaan Negeri.
Menurut Maimun yang ditemui selepas majlis penyampaian peralatan itu yang berlangsung di dewan Majlis Perbandaran Dungun (MPD), walaupun anaknya, Madihah Mohd, 11, ditempatkan di Kelas Pendidikan Khas di sekolahnya, namun dia tidak ingin melihat anaknya itu ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.
“Walaupun dia terpaksa berhadapan sedikit kesukaran untuk mengendalikan komputer riba ini kerana dia tergolong dalam kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), namun saya percaya dengan tunjuk ajar gurunya, dia mampu menguasai dengan baik.
“Apatah lagi e-Book ini telah dikhaskan untuknya, saya harap dia dapat memanfaatkannya. Kepada pihak yang memberikan sumbangan ini, saya ucapkan terima kasih,” katanya.
Bagi Rosnani Awang, 40, sumbangan e-Book berkenaan adalah perkara yang amat bernilai buat anaknya, apatah lagi sumbangan itu pertama kali diterima.
“Kita nak beli sendiri tidak berkemampuan, jadi bila kerajaan beri kita hargai. Apa yang penting, anak dapat belajar dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Omar, Anisah Osman, 31, pula berkata, daripada pengamatannya, murid terencat akal yang berada dalam kelasnya menunjukkan minat mendalam terhadap pelajaran komputer berbanding subjek lain bercorak akademik.
“Murid kelas ini biasanya lebih berminat mengendalikan komputer berbanding subjek lain yang lebih ilmiah,
“Sebagai guru, kita pastinya akan memberi tunjuk ajar dan yakin mereka dapat meningkatkan pengetahuan mengenai bidang teknologi maklumat melalui penggunaan e-Book ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment