Wednesday, June 16, 2010

Lebih 7,000 Kaunselor Akan Bergabung Di Bawah Satu Bumbung

Lebih 7,000 kaunselor di seluruh negara akan bergabung di bawah satu bumbung berikutan persetujuan kerajaan untuk menubuhkan Jabatan Kaunselor tidak lama lagi, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, kewujudan jabatan itu akan membolehkan semua kaunselor menggembleng tenaga serta kapakaran sekali gus memacu kerjaya itu dengan hala tuju yang lebih jelas dan efisyen dalam membantu menangani gejala sosial di kalangan masyarakat.

"Sudah tiba masa jabatan seumpama itu diwujudkan dan kaunselor akan mempunyai piawaian selain kod etika yang lebih terperinci untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat," katanya selepas menutup Konvensyen Kaunseling Kebangsaan 2010 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Shahrizat berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan meminta beberapa pihak berkaitan seperti Lembaga Kaunselor Malaysia dan Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama) untuk memperincikan kajian mengenai penubuhan jabatan tersebut.

Beliau berkata selepas kajian selesai, pihaknya akan membawa perkara itu untuk dikemukakan dalam Kabinet bagi tindakan selanjut.

Konvensyen tiga hari itu yang bertemakan Perkhidmatan Kaunseling Berkualiti Asas Pembangunan Komuniti disertai kira-kira 200 peserta dari seluruh negara.

Shahrizat berkata, pada masa ini terdapat 5,000 kaunselor di sekolah-sekolah manakala 1,827 lagi kaunselor yang berdaftar di seluruh negara selain 350 orang di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, badan bukan kerajaan (126 orang) dan swasta (99 orang).

No comments:

Post a Comment