Skuad sepak takraw Terengganu membuat kejutan dalam acara berpasukan lelaki selepas menumpaskan juara bertahan Selangor 2-1 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka semalam.
Pada perlawanan akhir itu, Terengganu terlebih dahulu menguasai perlawanan apabila regu A mereka menewaskan regu A Selangor 21-16, 21-13.
Selangor kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan selepas regu B mereka menewaskan regu Terengganu dalam perlawanan tiga set 19-21, 21-18 dan 16-14 tetapi Terengganu akhirnya berjaya merampas pingat emas apabila regu ketiganya memenangi set terakhir dengan 21-17 dan 21-15.
Pingat gangsa acara ini dimenangi pasukan Pulau Pinang dan Kedah.
Jurulatih Terengganu, Ahmad Mohd Zim berkata kemenangan itu adalah suatu kejayaan selepas berusaha keras untuk meraih kembali pingat emas yang pernah mereka memanangi 10 tahun lalu di Sukma Pulau Pinang.
"Kita dapat balas dendam pada Selangor yang kalahkan kita di separuh akhir Sukma lepas. Pada Sukma Terengganu itu, kita hanya dapat pingat gangsa sahaja dan Selangor dapat pingat emas," katanya.
Dalam kategori wanita, skuad Kedah berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lepas.
Pada perlawanan akhir pada Selasa, Kedah menewaskan Pulau Pinang, 2-1 dan terlebih dahulu mendahului apabila regu A mereka menewaskan regu A Pulau Pinang 21-7, 21-12.
Bagaimanapun, Pulau Pinang bangkit menyamakan kedudukan apabila regu B mereka menewaskan regu Kedah 21-19, 21-19 dan Kedah akhirnya berjaya memperolehi pingat emas apabila regu C mereka menewaskan regu C Pulau Pinang 21-16, 21-15.
Sementara pingat gangsa menjadi milik pasukan Pahang dan Sarawak.
No comments:
Post a Comment