Saturday, June 26, 2010

MBKT baiki tandas eksklusif

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang memperbaiki kerosakan tandas eksklusif yang dibina sejak 2006 di Taman Shahbandar di Kuala Terengganu.

Datuk Bandar, Datuk Mohd. Adzlan Dagang berkata, tindakan itu merupakan antara perkara pertama yang dilakukannya sejak menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar beberapa bulan lalu.

Katanya, tandas eksklusif itu dibina di bawah pemantauannya ketika beliau menjawat jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT).

"Pembaikan tandas eksklusif itu telah dimulakan selepas saya menerima dan mengumpul maklumat perkara yang perlu dilakukan sejak menjawat jawatan ini," katanya kepada Utusan.

Utusan Malaysia pada bulan lepas melaporkan tandas eksklusif bernilai suku juta ringgit itu mengalami kerosakan dan kelihatan uzur selepas beroperasi beberapa tahun.

Tandas tersebut menyediakan perkhidmatan tandas yang setaraf dengan perkhidmatan yang disediakan oleh hotel bertaraf lima bintang.

Mohd. Adzlan berkata, jumlah peruntukan yang diperlukan kecil kerana kerosakan tersebut tidak teruk dan melibatkan infrastruktur utama.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelbagai perancangan telah dibuat untuk mencantikkan lagi landskap di Kuala Terengganu.

Katanya, antaranya ialah penanaman pelbagai saiz dan pokok untuk menjadikan landskap di daerah ini lebih harmoni.

''Saya mahu bandar raya ini kelihatan dipenuhi pokok-pokok yang akan menghijaukan suasana," katanya.

No comments:

Post a Comment