Thursday, June 24, 2010

Nenek ‘Coli’ Didakwa Edar Dadah

Seorang nenek berusia 43 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu semalam terhadap pertuduhan mengedar dadah di hadapan tandas awam stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada Khamis lepas.

Semalam Harini Che Soh, dari Rantau Panjang, Kelantan yang juga merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai empat anak serta dua cucu, dituduh mengedar heroin seberat 83 gram di situ pada 6 pagi 17 Jun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Harini ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Mohammad.

Wan Nor Aklima kemudian menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu dan tidak menawarkan sebarang ikat jamin.

Kelmarin polis melaporkan nenek berkenaan menyembunyikan 20 botol dadah bernilai RM28,000 dalam coli ketika ditahan di kawasan stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Roslan Abd Wahid, berkata dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, wanita berstatus ibu tunggal dari Jalan Merdeka, Rantau Panjang, Kelantan bersama rakannya dilihat dalam keadaan mencurigakan di depan tandas awam stesen bas berkenaan.


Beliau berkata, janda empat anak dan sudah mempunyai cucu itu bersama rakannya yang juga janda berasal dari Kampung Pinang, Sungai Besi, Kuala Lumpur dilihat cemas dan gelisah ketika didatangi anggota polis yang melakukan pemeriksaan selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh anggota polis wanita menemui 20 botol dadah jenis heroin nombor empat seberat 83 gram, masing-masing 10 pada coli sebelah kanan dan kiri wanita terbabit.

“Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM106, mata wang Thailand bernilai 1,410 bath daripada nenek terbabit hasil jualan bahan terlarang itu.

“Siasatan juga mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mempunyai dua taraf kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand.

Rakannya berusia 30 tahun pula mempunyai seorang anak kecil dan kedua-dua mereka adalah penagih pil WY.

Mereka juga dipercayai pengedar dadah yang mempunyai rangkaian di sempadan Rantau Panjang dan Golok, Thailand.

No comments:

Post a Comment