Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengambil inisiatif akan menganjurkan ‘Pesta Makan Nasi Pantai’ dalam usaha menghidupkan kembali nostalgia tradisi turun temurun masyarakat di Cendering.
Pengerusinya, Syed Aziz Tuan Kuning berkata, program yang dijangka bakal berlangsung pada 22 Julai ini dan berakhir pada 24 Julai bertempat di Pantai Pandak, Chendering akan melibatkan seramai 50 keluarga yang terdiri daripada penduduk setempat.
“Sempena program ini, kami akan menyediakan lima unit pondok tradisi yang dibina daripada daun kelapa bertujuan memperkenalkan kepada generasi baru yang sememangnya tidak pernah berkesempatan untuk melihatnya sebelum ini.
“Pondok tersebut hanya untuk dipamerkan sahaja, manakala, bagi keluarga yang menyertai pesta ini pula, khemah moden disediakan untuk bermalam dan sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti pantai dianjurkan yang majoritinya adalah aktiviti tradisi masyarakat nelayan di sini,” katanya.
Menurut Syed Aziz, Pesta Makan Nasi Pantai itu antara pesta yang terkenal dalam kalangan masyarakat nelayan di sini hampir 25 tahun dahulu.
Kini ramai generasi muda tidak mengenali pesta berkenaan kerana tidak lagi dianjurkan.
No comments:
Post a Comment