Tuesday, June 29, 2010

20 Peratus Koperasi Di Terengganu Tenat

Sebanyak 20 peratus daripada 434 koperasi di Terengganu didapati berada dalam keadaan tenat dan tidak bergerak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Rozi Mamat berkata kebanyakan koperasi yang tenat itu adalah koperasi tajaan kerajaan negeri.

"Nak kata koperasi berkenaan gulung tikar pun tidak tetapi mereka tidak bergerak," katanya kepada pemberita pada perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke-25 Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Antara koperasi itu ialah koperasi tukang jahit, koperasi beca roda tiga, koperasi kedai makan dan koperasi teksi.

Rozi berkata antara tujuan kerajaan menubuhkan koperasi ialah kerana ingin melihat orang Melayu maju dalam bidang perniagaan.

"Namun kefahaman dan sambutan orang Melayu terhadap koperasi masih kurang terutamanya di kampung-kampung menyebabkan mereka ketinggalan," katanya.

Rozi juga berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada tanaman padi selain tanaman jagung.

Dalam jangka masa terdekat ini, katanya, 200 hektar akan ditanam dengan padi di Kampung Mak Jintan, Setiu manakala jagung akan ditanam secara komersial di kawasan seluas 500 hektar di Hulu Terengganu.

No comments:

Post a Comment