Saturday, June 26, 2010

PM Restui Rombakan Portfolio Lima EXCO - Ahmad Said

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata, rombakan portfolio lima Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini dibuat dengan restu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Said berkata sebelum rombakan itu, beliau terlebih dahulu berbincang dengan Perdana Menteri mengenai cadangan pertukaran portfolio itu.

"Sebelum tukar (portfolio) itu kita bincang dulu dengan Perdana Menteri. Rombakan itu hanya dikuatkuasakan setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri.

"Sebagai pemimpin nombor satu negara dan parti, persetujuan Perdana Menteri penting selain membuktikan rombakan Exco tersebut dilakukan dengan cara betul dan bukannya sembarangan," katanya.


Beliau menyatakannya diminta mengulas mengenai perkara itu, selepas menyampaikan bantuan Yayasan Terengganu ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta peringkat ijazah di Stadium Tertutup pagi ini.

Khamis lepas, Ahmad Said membuat rombakan secara mengejut terhadap portfolio melibatkan lima Exco negeri itu yang berkuatkuasa 1 Julai depan, namun ianya tidak membabitkan pengguguran Exco sedia ada.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata rombakan itu dibuat bertujuan untuk memantapkan lagi pentadbiran negeri dan bukan disebabkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Exco terlibat.

Beliau berkata setiap portfolio kini dipegang oleh orang yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang tugas masing-masing.

"Datuk Za'abar Mohd Adib, contohnya, merupakan seorang jurutera, jadi pasal runtuhan ataupun pembinaan kita serahkan kepada beliau kerana kita orang biasa tidak tahu soal teknikal, beliau lebih arif mengenainya.

"Begitu juga dalam bidang pertanian, kita lantik Asha'ari Idris jadi Exco pertanian kerana beliau banyak pengalaman dalam bidang berkenaan. Lagipun beliau pernah jadi Setiausaha Sulit Menteri Pertanian," katanya.

Menteri Besar berkata surat arahan pertukaran portfolio kepada semua Exco yang terlibat telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah.

1 comment:

  1. Nampaknya ada sorang politik yang lebih hebat daripada PM. Jika PM boleh restu kenapa perkara ini dikatakan satu penghinaan. Terang lagi bersuluh, Ahmad Said sentiasa menjadi mangsa fitnah, walaupun beliau membuat pertukaran potfolio exco mengikut cara yang tertib.

    ReplyDelete