Hadiah istimewa menunggu peserta pertandingan Bintang Kecil peringkat Negeri Terengganu sekiranya berjaya memenangi pertandingan itu di peringkat kebangsaan yang akan diadakan Disember ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Mohamad Ramli Noh berkata beliau akan membincangkan bentuk hadiah yang bakal diberikan itu dalam mesyuarat exco kerajaan negeri akan datang.
Menurut beliau, kerajaan Terengganu diterajui Menteri Besar Datuk Ahmad Said tidak 'lokek' untuk memberi penghargaan kepada anak negeri itu yang mengharumkan nama negeri.
"Baru-baru ini Menteri Besar umumkan insentif kepada atlet cemerlang selain mengumumkan cuti sehari sebagai penghargaan kepada atlet yang berjaya membawa Terengganu sekali lagi menjadi juara Sukma ke-13 di Melaka.
"Begitu juga pertandingan Bintang Kecil yang menjadi acara tahunan sejak 10 tahun lalu, telah terbukti berjaya mencungkil bakat anak-anak Terengganu dalam bidang seni suara," katanya kepada pemberita pada satu sidang media kelmarin. Turut hadir Pengarah Penyiaran Terengganu Dr Nawiyah Che Lah.
Sementara itu, Dr Nawiyah berkata pertandingan anjuran Radio Malaysia Terengganu, Tfm dengan kerjasama pihak swasta itu akan diadakan di Taman Budaya Kuala Ibai, di sini 3 Julai ini dengan disertai 10 kanak-kanak berumur tujuh hingga 11 tahun.
"Dua peserta akan dipilih ke peringkat Zon Timur di Kelantan pada 24 Julai ini yang melibatkan Terengganu, Kelantan dan Pahang. Johan akan mewakili Zon Timur ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kuching, Sarawak," katanya.
No comments:
Post a Comment