Friday, June 18, 2010

Proton Savy, Kriss, 200 Hadiah Di Majlis Penutup Sukma XIII

Sebuah Proton Savvy, dua motosikal Kriss dan hadiah bernilai lebih RM180,000 menanti penonton bertuah sempena Majlis Penutupan Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 di Stadium Utama, Kompleks Sukan Hang Jebat, esok.

Majlis akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kerajaan negeri Melaka telah berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan temasya sukan kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah Sukan Malaysia," kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Sementara itu Datuk Ab Karim Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, telah menerima sebuah Proton Savvy iaitu hadiah utama Penonton Bertuah Majlis Penutupan Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 yang disampaikan oleh Pengurus Operasi Cawangan Melaka Proton Edar Sdn Bhd, Abdul Jalil Omar.

Ab Karim juga turut menyerahkan empat buah motosikal kepada empat pemenang bertuah sempena Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 pada 12 Jun, lalu.

Ketua Menteri seterusnya berharap program cabutan bertuah ini akan dapat menarik seberapa ramai pengunjung ke Stadium Hang Jebat.

"Pengunjung, khususnya rakyat Melaka sepatutnya tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan lagi suasana majlis Penutupan Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 di Stadium Hang Jebat memandangkan negeri Melaka akan menjadi tuan rumah 28 tahun lagi," ujar beliau.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Latiff Tamby Chik; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zin Mansor; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Dato' Zulkifli Mohamad.

No comments:

Post a Comment