Sunday, June 20, 2010

Rai Wira Sukma XIII - Datanglah Beramai-Ramai ke Dataran Shahbandar

Selepas menyambut kepulangan kontijen Terengganu di sempadan Teengganu-Pahang di Kemaman petang ini, acara menyambut kemenangan Terengganu dalam Sukma XIII disambung pula di Dataran Shah Bandar malam ini.

Persiapan untuk sambutan itu sedang dilakukan ketika ini di mana Unit Komunikasi Negeri (UKOM) turut terlibat.

Seluruh warga Terengganu dijemput bersama-sama dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada majlis meraikan kepulangan wira Terengganu yang membolehkan negeri ini mengatasi Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Petang ini, kontijen Terengganu diarak hingga ke Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman untuk minum petang sebelum meneruskan perjalanan ke KT.

Semalam pada acara penutup Sukma XIII di Melaka, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menyampaikan anugerah Piala Perdana Menteri kepada pasukan Terengganu yang muncul juara keseluruhan selepas berjaya memperoleh 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Walaupun gagal mencapai sasaran awal 66 pingat emas, Terengganu membuktikan bahawa mereka mampu muncul sebagai satu kuasa baru sukan tanah air.

Antara pencapaian yang membanggakan pasukan dari pantai timur itu ialah kejayaan mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak untuk tiga edisi berturut-turut.

Terengganu turut mengungguli acara kanu dengan memenangi 12 pingat emas, selain meraih lapan emas dalam acara berbasikal, enam dalam acara olahraga dan lima emas masing-masing dalam acara judo, pencak silat dan angkat berat.

No comments:

Post a Comment