Kerajaan negeri Terengganu akan memperkenalkan skim latihan pembantu rumah selama tiga bulan untuk hampir 2,000 ibu tunggal di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.
Katanya, tawaran untuk mengikuti kursus latihan itu, yang dikendalikan oleh Kolej Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), akan dibuka bulan depan.
"Bagi peringkat permulaan, keutamaan akan diberikan kepada ibu tunggal yang berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK)," katanya semalam.
Ahmad Razif berkata, pada masa ini terdapat hampir 20,000 ibu tunggal di Terengganu dan ada di antara mereka bekerja sebagai pembuat kuih dan menjadi pembantu kedai makanan.
Katanya, selepas mengikuti kursus itu, YPK akan membantu mereka memasuki pasaran kerja, sekali gus boleh membantu mengatasi kekurangan pembantu rumah di negara ini.
Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan ke agensi tempat latihan pembantu rumah di Indonesia dan sebahagian daripada modul yang diajar di negara itu akan dijadikan modul latihan berkenaan.
"Mengikut cadangan kerajaan negeri, YPK akan menjadi ejen kepada pembantu rumah itu bagi memastikan sumber pendapatan mereka terjamin. Cadangan kerajaan ialah pembantu rumah itu tidak tinggal bersama majikan tetapi bekerja mengikut waktu pejabat," katanya.
No comments:
Post a Comment