Friday, June 4, 2010

Siasat & tangani secara bijak kes 16 pelajar sekolah hamil

Berita Harian menyebut 16 pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu dikesan sedang mengandung, manakala empat sudah melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka sejak setahun lalu.

Menurut laporan Hamid Salleh dari akhbar berkenaan, difahamkan pelajar terbabit terjebak dengan gejala sosial, berada dalam Tingkatan Tiga dan Enam, dikesan melahirkan anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tahun lalu, dan kes terbaru, seorang pelajar Tingkatan Tiga melahirkan seorang bayi lelaki di HSNZ, Ahad lalu.

Bagaimanapun kelmarin, Jabatan Pelajaran Terengganu (JPT) mengatakan ia tidak menerima sebarang maklumat mengenai terdapat pelajar sekolah di negeri ini yang hamil dan melahirkan anak luar nikah sejak pertengahan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata JPT telah diminta untuk menyiasat perkara itu yang dilaporkan media.

"Namun setakat ini kita tidak dapat apa-apa maklumat perkara seumpama itu berlaku," katanya.
Beliau mengulas laporan akhbar yang menyebut terdapat empat pelajar sebuah Sekolah Menengah di daerah ini yang melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki masing-masing sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, seramai 16 lagi pelajar sekolah itu kini disahkan mengandung.

Dakwaan oleh akhbar ini sangat memalukan bukan sahaja pelajar dan ibu bapa mereka tetapi juga sekolah – termasuk pentadbir sekolah - sehinggalah Jabatan Pelajaran dan kerajaan negeri ini, jika ia benar-benar berlaku.

Laporan ini perlu disiasat secara mendalam oleh semua pihak dan ia tidak boleh diambil mudah.

Rasanya sebagai wartawan berpengalaman, Hamid Salleh bukan jenis yang mereka-rekakan cerita.

Apapun, jangan cepat menuding jari sebaliknya isu ini mesti ditangani dengan cermat dan berhemah.

Menurut Berita Harian, lantaran perkara itu memalukan, ramai pihak termasuk ibu bapa pelajar dikatakan menyembunyikan kelahiran itu tetapi terbongkar apabila rakan pelajar berkenaan mendedahkan kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu baru-baru ini.

Berikutan itu, PIBG mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin bagi membincang masalah itu tetapi difahamkan, pengetua sekolah berkenaan tidak hadir dalam mesyuarat itu.

Seorang Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah terbabit memberitahu, pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas pelajar itu melahirkan anak April lalu.

Katanya, dalam usaha menyembunyikan keadaan memalukan itu, seorang daripada pelajar berkenaan sanggup membuat permohonan bertukar sekolah di Setiu, selepas mengetahui dia mengandung enam bulan.

Bagaimanapun, usahanya tidak berhasil kerana bapa saudaranya yang tinggal di daerah berkenaan enggan menerimanya kerana mengetahui pelajar itu mengandung anak luar nikah.

Yang menarik mengenai laporan Hamid Salleh ini, beliau berjaya mengesan mesyuarat PIBG yang diadakan dan rasanya wartawan ini tahu mengenai perkara ini.

Ahmad Razif mengatakan pihaknya sudah dimaklumkan bahawa empat pelajar sekolah itu sudah melahirkan anak.

Tidaklah begitu sukar untuk mengesan perkara ini kerana Hamid Salleh boleh bekerjasama dengan semua pihak yang membuat siasatan.
Sambil menyifatkan kes itu sebagai serius jika benar berlaku, Ahmad Razif berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sekolah yang cuba menyembunyikan perkara seumpama itu.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai seorang pelajar telah bersalin sebelum ini, namun pelajar berkenaan sudah pun berkahwin.
"Jika ada kes-kes lain, kita masih belum dapat secara rasmi, pihak sekolah kini sedang siasat," katanya.

Beliau berkata, kes yang serius seperti itu selalunya berada dalam pengetahuan Jabatan Pelajaran.

"Tetapi, pihak jabatan tidak ada maklumat seperti yang disebut dalam laporan itu. Bagaimanapun jika kes seperti itu benar-benar berlaku tetapi di luar sekolah, masyarakat diminta tidak terus menunding jari dan menyalahkan pihak sekolah, kata Ahmad Razif.

No comments:

Post a Comment