Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) meminta mana-mana pihak yang ingin menghadiri program Melayu Bangkit bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Stadium Negeri pada 14 Jun ini, tidak membawa bendera atau lencana parti politik.
Pengerusinya, Razali Idris berkata, langkah itu diambil bagi mengelak salah faham dan ketidakpuasan hati pihak lain yang bakal menyertai program itu kerana ia bukan perhimpunan rasis atau berniat jahat.
“Kita mahu mengelakkan salah faham kaum bukan Melayu dan tiada sebarang tunjuk perasaan seperti difikirkan beberapa pihak sebelum ini dengan mengatakan Melayu Bangkit boleh menggugat ketenteraman negara.
“Setakat ini kita dapat maklum balas positif kaum Cina dan India yang ingin turut serta dan tiada masalah jika mereka sudi hadir.
“Setiap yang hadir perlu patuh arahan ditetapkan dan tidak boleh sewenang-wenangnya cuba mengganggu perjalanan program,” katanya mengenai perjalanan program Melayu Bangkit di Motel Desa, kelmarin.
Sementara itu, Razali berkata, Gertak bersepakat dengan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) mengutuk tindakan rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan terhadap misi kemanusiaan ke genting Gaza, Palestin.
“Kita juga mendesak kerajaan memutuskan hubungan dengan rejim Israel dalam apa keadaan sekalipun dan berharap Perdana Menteri dapat menyampaikan mesej kepada OIC, PBB dan Liga Arab.
“Jika Israel perlu diserang, kita menyokong sepenuhnya kerana sudah berpuluh tahun bangsa Palestin ditindas dan dikepong rejim Israel sehingga memberi tekanan kepada mereka untuk mendapatkan kemerdekaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment