Wednesday, June 23, 2010

Tuanku Mizan hadir mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-221

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-221 di Istana Negara di Kuala Lumpur bermula kira-kira jam 10.30 pagi ini.

Mesyuarat dua hari itu dipengerusikan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan dihadiri oleh semua Sultan dan Yang Dipertua negeri kecuali Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Pahang diwakili Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Kelantan diwakili Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, dan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Turut mengiringi Sultan dan Yang Dipertua Negeri pada mesyuarat itu ialah Menteri Besar, termasuk Menteri Besar Terengganu – Datuk Ahmad Said dan Ketua Menteri masing-masing kecuali Kelantan dan Sarawak yang diwakili oleh Timbalan Menteri Besar masing-masing.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan perkara berkaitan agama, pertahanan, keselamatan, pelantikan, ekonomi serta perkembangan industri.

Sempena mesyuarat itu, santapan malam bagi memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-221 akan diadakan di Istana Negara malam ini.

Ahmad Said dan Toh Puan Nurliza Mahmud akan turut hadir pada santapan itu malam ini.

Mesyuarat hari kedua esok dijangka juga akan dimulakan 10.30 pagi

No comments:

Post a Comment