Wednesday, June 23, 2010

Polis, KAWAT Lancar Kempen Jalan Raya Menjelang Aidilfitri

Polis Terengganu sudah bersiap sedia untuk memulakan kempen pemanduan berhemah menjelang sambutan Aidilfitri pada awal September ini bagi menangani kes kemalangan jalan raya sempena perayaan tersebut.

Kempen dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) itu akan bermula awal Ogos ini iaitu semasa bulan puasa.

"Ia penting bagi mengurangkan kemalangan yang sering berlaku terutama ketika Hari Raya Aidilfitri semakin hampir," kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata kempen tersebut juga bertujuan bagi melancarkan pergerakan trafik di Terengganu semasa bulan puasa dan lebih-lebih lagi menjelang hari raya.

Mengenai kes jenayah, beliau berkata kes menurun dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

"Sebanyak 1,968 kes dicatat di negeri ini dalam tempoh tersebut berbanding 2,666 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas. Ia menunjukkan penurunan sebanyak 698 kes atau 26.2 peratus. Sasaran awal kita ialah penurunan sebanyak 20 peratus," katanya.

Mohd Shukri berkata daripada 1,968 kes yang berlaku, 490 kes berjaya diselesaikan setakat ini.

No comments:

Post a Comment