Thursday, July 8, 2010

1,170 peserta PJD mampu peroleh RM2,000 sebulan

Abdul Halim Jusoh (depan, lima dari kiri) bersama peserta yang menerima sijil penghargaan di Bandar Permaisuri, kelmarin.

Seramai 1, 170 peserta Program Jaya Diri (PJD) dari seluruh negeri ini mampu mengubah corak kehidupan mereka dengan memperoleh pendapatan lebih RM2,000 sebulan selepas menyertai program yang dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

Pengarah YPK Terengganu, Mohd. Shafaruddin Mustafa berkata, sebelum ini mereka yang kebanyakannya dari keluarga miskin berpendapatan sekitar RM300 hingga RM500 sebulan telah memanfaatkan kemudahan pinjaman demi masa depan keluarga yang lebih baik.

Katanya, melalui PJD yang diperkenalkan oleh YPK kira-kira 15 tahun lalu pihaknya berjaya membebaskan sebahagian golongan itu daripada cengkaman kemiskinan.

Beliau berkata, menerusi program berkenaan juga, YPK juga membantu menambahkan pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan kepada 3,130 peserta lain yang sebelum itu memperoleh pendapatan yang tidak menentu.

‘‘PJD adalah satu program yang menyediakan pinjaman tanpa faedah yang diberikan kepada mereka dari keluarga miskin bagi meningkatkan pendapatan ahli keluarga mereka.

"Program ini juga salah satu usaha kerajaan negeri untuk membendung masalah kemiskinan di negeri ini selain mengalakkan kaum wanita menambah pendapatan bagi membantu suami mereka,” katanya ketika ditemui di Majlis Penghargaan Peserta PJD Parlimen Setiu, di sini, semalam.

Majlis yang diadakan di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Setiu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Abdul Halim Jusoh yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha‘ari Idris.

Sempena majlis itu juga, YPK telah mengeluarkan pinjaman sejumlah RM151,000 bagi 45 peserta serta menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 peserta Berdikari dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Setiu.

Mohd Shafaruddin memberitahu, sehingga kini pihaknya telah mewujudkan 482 unit Pusat PJD yang disertai oleh 4,296 ahli dari lapan kawasan Parlimen di seluruh negeri.

Sebanyak 62 unit pusat diwujudkan di Kuala Terengganu dengan 531 ahli), Kuala Nerus m 49 pusat (358 ahli), Setiu 59 pusat (522 ahli), Besut 52 pusat (467 ahli), Marang 52 pusat (651 ahli), Hulu Terengganu 57 pusat (385 ahli), Dungun 83 pusat (697 ahli) dan Kemaman 68 pusat (680 ahli).

Menurut beliau, para peserta berkenaan melaksanakan pelbagai projek seperti penternakan, pertanian, perniagaan, perikanan, kraftangan, pertukangan dan bengkel, bersesuaian dengan minat dan kebolehan mereka.

Mohd Shafaruddin berkata, setiap peserta yang terpilih mengikuti program berkenaan akan diberi pinjaman tanpa faedah antara RM3,000 hingga RM8,000 seorang sebagai modal perniagaan selain mereka juga sentiasa dipantau setiap masa oleh YPK bagi memastikan projek mereka berjalan lancar.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri menerusi YPK telah mengeluarkan pinjaman sejumlah RM24.7 juta sejak PJD mula dilancarkan pada 1995 sehingga sekarang.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment