Thursday, July 8, 2010

Kerajaan Negeri Diminta Sedia Prasarana Di Losong

Kerajaan negeri diminta menyediakan prasarana bersesuaian di Kampung Losong yang popular dengan perusahaan keropok lekor agar setanding dengan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi yang lain di Terengganu.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Keropok Losong Kuala Terengganu (PPKL), Abu Bakar Yusof berkata ini perlu lebih-lebih lagi kampung itu sentiasa dilawati pelancong dari dalam dan luar negara.

"Kedudukannya strategik dan berhampiran dengan bandar Kuala Terengganu, Taman Tamadun Islam serta Muzium Negeri Terengganu yang menjadi tumpuan pelancong, namun pada masa ini kemudahan seperti tandas awam, lampu jalan dan landskap yang menarik masih belum ada.

"Kita harap kerajaan negeri dapat menyediakan kemudahan asas ini kerana pihak pengusaha keropok di sini tidak mampu menyediakannya sendiri," katanya di Kuala Terengganu, semalam.


Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata PPKL sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan Bandaraya Kuala Terengganu untuk meningkatkan kualiti keropok yang dihasilkan.

No comments:

Post a Comment