Sunday, July 11, 2010

12 tukang urut warga China ditahan di KT

Seramai 12 orang tukang urut warga China yang dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di sebuah pusat refleksologi dan fisioterapi di Jalan Kampung Dalam di Kuala Terengganu, ditahan malam tadi.

Turut ditahan pasukan Polis Bukit Aman Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian atau D7 dalam serbuan 10 malam itu ialah seorang lelaki warga China, dua lelaki pekerja tempatan dan empat pelanggan.

Ketua operasi berkenaan, Cif Inspektor Badrul Hisham Bakri, berkata premis berkenaan telah beberapa kali diserbu, namun pemiliknya tidak serik dan masih meneruskan operasi mereka.

"Kali terakhir premis ini diserbu ialah bulan lalu, namun pemiliknya masih terus mengupah warga asing menjalankan operasi pusat urut ini," katanya di tempat serbuan.

Premis tiga tingkat itu telah beroperasi sejak dua tahun lalu di mana bahagian atas bangunannya telah diubah suai untuk dijadikan tempat penginapan manakala di bahagian bawah menyediakan pusat perkhidmatan mengurut.

Badrul berkata lapan dari wanita China itu ditahan mengikut Seksyen 39 (b)Peraturan-peraturan Imigresen 1953 manakala empat lagi termasuk yang lelakinya di bawah Akta 6(1) (c) akta yang sama kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

Katanya, terdapat juga antara warga asing itu yang mempunyai pas bekerja, namun mereka bekerja di sektor yang tidak dibenarkan.
Beliau berkata, semua mereka termasuk empat pelanggan tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut sebelum dirujuk kepada Jabatan Imigresen.

No comments:

Post a Comment