Sunday, July 11, 2010

Peserta Tanaman Jagung Hibrid Mampu Peroleh Pendapatan RM20,000 Setahun

Rozi bersama-sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said melawat tapak tanaman jagung hibrid di Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Peserta rancangan jagung hibrid di Kampung Nibong di Hulu Terengganu dijangka mampu meraih pendapatan bersih sehingga RM20,000 seorang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata pada masa ini terdapat 25 penduduk kampung berkenaan menyertai projek tanaman itu dengan melibatkan kawasan seluas 30 hektar.

"Sebelum ini kawasan itu hanya terbiar selepas tidak lagi diusahakan dengan tanaman padi tetapi kini ia menjadi projek perintis tanaman jagung hibrid dengan diusahakan belia di kampung ini," katanya kepada pemberita selepas program tuai jagung hibrid di Kampung Nibong hari ini.

Rozi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong berkata jagung itu kini ditanam tiga kali setahun dengan setiap peserta mengusahakan tanaman di kawasan seluas 1.5 hektar.

Kerajaan negeri mensasarkan setiap peserta yang mengikuti program itu akan memperoleh hasil RM5,000 untuk satu hektar setiap kali ditanam.

Rozi berkata Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC), sebuah anak syarikat kerajaan negeri, juga akan menanam jagung hibrid seluas 30 hektar di Kampung Nibong.

Jagung yang akan ditanam oleh TADC itu akan dipasarkan ke Amerika Syarikat, katanya.

Beliau berkata tahun ini kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM5 juta untuk membangunkan kawasan tanaman jagung di Terengganu termasuk bagi menyediakan kemudahan asas.

No comments:

Post a Comment