Monday, July 19, 2010

17 Sekolah Jadi Sekolah Angkat Pusat Sumber

Ariffin Embong (kiri), Ahmad Razif Abd Rahman dan Aziz Deraman ketka merasmikan program pusat sumber sekolah angkat, Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah Universiti Malaysia Terengganu di Seberang Takir, semalam.

Sebanyak 17 sekolah rendah dan menengah berprestasi tinggi di negeri ini dijadikan sekolah angkat Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Langkah itu bagi meningkatkan pengurusan pusat sumber sekolah berkenaan mengikut perkembangan teknologi dan maklumat terkini agar berfungsi dengan lebih berkesan.

Program yang menjadi sebahagian daripada pengisian tanggungjawab sosial universiti (USR) akan membantu meningkatkan fungsi utama perpustakaan sekolah sebagai pusat sumber sehenti melalui pemindahan pengetahuan dan teknologi.

Ia akan mewujudkan rangkaian kerjasama antara pihak sekolah dan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah melalui pendedahan pengetahuan mengenai pengurusan standard koleksi dan perkhidmatan di pusat sumber sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman mengalu-alukan usaha itu.

Beliau berkata, ia satu langkah baik dan tepat ke arah mendidik para pelajar memperoleh kemahiran mencari maklumat sejak dari usia muda.

''Melalui program ini, UMT akan berkongsi kepakarannya menguruskan perpustakaan dengan sekolah-sekolah ini," katanya selepas merasmikan Program Pusat Sumber Sekolah Angkat PSNZ-Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di Seberang Takir Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Ahmad Razif berkata, bagaimanapun, sekolah-sekolah berkenaan diminta tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada UMT dalam perkara itu.

''Saya berharap pusat sumber sekolah akan menjadi sebuah pusat yang mesra dan menarik lebih banyak pelajar untuk membaca," ujarnya.

Dalam pada itu, guru perpustakaan dan media Sekolah Menengah Imtiaz Besut, Abdul Hadi Shafie berkata, program itu amat bersesuaian kerana pihaknya amat memerlukan bantuan dalam mencari kaedah untuk menguruskan pusat sumber sekolah itu.

''Saya baru mengambil tugas sebagai guru perpustakaan dan tidak mempunyai pengalaman untuk menguruskan pusat sumber.

''Jadi program ini akan membantu saya menguruskan pusat sumber selain menyediakan sumber maklumat terkini untuk para pelajar," katanya.

Beliau berkata, ia juga akan membantunya menyediakan bahan-bahan yang bersesuaian.
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment