Roslan Che Mohamad (tengah) bersama pegawai Jabatan Kerja Raya negeri, Wan Nelang Abd. Rahman (kiri) melihat keadaan kawasan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, semalam.
"Sekurang-kurangnya 30 pekerja mahir bersama 10 jentera termasuk tiga kren yang setiap sebuah seberat 500 tan diperlukan. Ekoran kerja-kerja yang agak rumit dan berisiko tinggi, perancangan rapi perlu dilakukan termasuk menggunakan pekerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal dan kejuruteraan termasuk dari Indonesia dan Bangladesh," - Pengurus Projek, Zaini Yusoff
"Sekurang-kurangnya 30 pekerja mahir bersama 10 jentera termasuk tiga kren yang setiap sebuah seberat 500 tan diperlukan. Ekoran kerja-kerja yang agak rumit dan berisiko tinggi, perancangan rapi perlu dilakukan termasuk menggunakan pekerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal dan kejuruteraan termasuk dari Indonesia dan Bangladesh," - Pengurus Projek, Zaini Yusoff
Oleh RADHUAN HUSSAIN (Utusan Malaysia, 16 Julai 2010)
Sudah lebih setahun, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat Kuala Terengganu berubah wajah dan menjadi kawasan larangan yang perlu dijauhi.
Sebelumnya ia begitu gah, dianggap mercu tanda dan menjadi kemegahan bagi rakyat di negeri ini. Kini ia bertukar menjadi suatu yang memalukan.
Bumbung bangunan itu runtuh dan sisa runtuhan menjadikannya bagaikan wajah raksasa yang hodoh dan sentiasa mencuri tumpuan sesiapa yang melalui jalan utama menghubungkan lapangan terbang.
Ia memberi pandangan yang sangat menyakitkan namun akhirnya baru-baru ini tender untuk membersihkan sisa runtuhan telah dikeluarkan bagi membolehkan kerja membaik pulih kemudahan sukan itu dilakukan kelak.
Syarikat Azimat Berkat dipertanggungjawabkan bagi kerja-kerja itu dan bagi syarikat berkenaan ia bukanlah tugas yang mudah.
Pengurus projek di syarikat berkenaan, Zaini Yusoff menjangkakan usaha itu dapat dimulakan akhir bulan ini bagi mengeluarkan lebih 3,000 tan sisa runtuhan.
Sekurang-kurangnya 30 pekerja mahir bersama 10 jentera termasuk tiga kren yang setiap sebuah seberat 500 tan diperlukan.
Ekoran kerja-kerja yang agak rumit dan berisiko tinggi, perancangan rapi perlu dilakukan termasuk menggunakan pekerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal dan kejuruteraan termasuk dari Indonesia dan Bangladesh.
Beliau memberitahu, kesemua jentera akan mula memasuki kawasan stadium berkenaan pada 26 Julai yang mana kerja-kerja pembersihan akan dilakukan secepat mungkin dan dijangka mengambil masa empat bulan untuk siap.
“Buat masa ini kawasan stadium itu dikawal rapi dan dipantau oleh pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) dan kita akan mula ambil alih tanggungjawab pada 26 Julai ini dengan kesemua jentera dibawa masuk ke situ.
“Mulai tarikh itu (26 Julai) kita akan kaji dan periksa dengan teliti apa yang perlu dilakukan sebelum mulakan kerja pembersihan. Kita belum pasti bila tapi kita akan buat secepat mungkin, manakala semua kos bagi kerja ini kita tanggung sendiri,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Azimat Berkat Sdn. Bhd., Roslan Che Mohamad dan Pengurus Operasi syarikat berkenaan, Richard Yap.
Sementara itu, Roslan merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu dan JKR yang memberi kepercayaan bagi memikul tanggungjawab membersih bumbung stadium itu.
Semalam, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah mengesahkan bahawa tanggungjawab bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan bumbung itu diserahkan kepada syarikat Azimat Berkat.
Menurut Mazlan, syarikat itu terpilih daripada 48 syarikat kontraktor yang memasuki tender bagi kerja-kerja pembersihan runtuhan berkenaan dan ia dipilih setelah lembaga tender meneliti cara kerja yang dibuat.
Bumbung stadium berkenaan yang terletak di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang menjadi venue utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh menyebabkan kira-kira separuh daripada strukturnya musnah.
Runtuhan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi, 2 Jun tahun lalu melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.
“Dalam tender berkenaan kita sebut bahawa barang-barang atau sisa runtuhan bumbung berkenaan akan jadi hak milik syarikat berkenaan dan kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan bayaran.
Beliau berkata, semasa kerja-kerja pembersihan itu dibuat, ia akan dipantau dengan teliti oleh JKR supaya ia tidak merosakkan struktur yang sedia ada.
Mazlan berkata, setelah kerja-kerja pembersihan itu selesai, struktur bangunan akan diteliti oleh pakar sebelum reka bentuk baru diputuskan kemudian bagi menjamin keselamatannya.
No comments:
Post a Comment