Tuesday, July 20, 2010

200 sertai perkhemahan Pandu Puteri Remaja

Sebahagian daripada 200 ahli Pandu Puteri Remaja yang menyertai perkhemahan peringkat daerah di Taman Rekreasi Merang, Setiu, kelmarin.

Kira-kira 200 ahli Pandu Puteri Remaja dan Renjer daerah Kuala Terengganu menyertai perkhemahan peringkat daerah yang diadakan di Taman Rekreasi Merang, Setiu selama tiga hari yang berakhir kelmarin.

Mereka terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima yang mewakili sepuluh sekolah menengah di sekitar Kuala Terengganu.

Antara sekolah yang mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, SMK Chendering, SMK Padang Midin, SMK Kompleks Seberang Takir, SMK Chung Hwa Wei Sin, SMK Panji Alam dan SMK Bukit Besar.

Sepanjang tiga hari, peserta didedahkan dengan pelbagai kegiatan termasuk ujian kecekapan melalui kefahaman dan kebolehan masing-masing dalam usaha melahirkan kepimpinan cemerlang.

Selain pendedahan mengenai pertolongan cemas dan ikatan serta simpulan, peserta juga turut diadili bagi acara masakan rimba, keceriaan khemah dan persembahan kebudayaan.

Majlis penutup dan penyampaian sijil dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Cawangan Terengganu, Zaini Mohd. Nor.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Pandu Puteri Daerah Kuala Terengganu, Ramelah Bilal Said.

Zaini ketika berucap di majlis itu, mahu setiap Persatuan Pandu Puteri Daerah dapat mengadakan aktiviti perkhemahan sekurang-sekurangnya sekali dalam setahun.

Ini kerana katanya, bagi setiap badan beruniform, perkhemahan merupakan program yang perlu diadakan dalam usaha melatih pelajar berdikari di samping menguji ketahanan fizikal dan mental melalui aktiviti yang dijalankan.


Utusan

No comments:

Post a Comment