Tuesday, July 20, 2010

119 Pelajar Terengganu Terlibat Dengan Pelbagai Kesalahan Narkotik

Seramai 191 pelajar di Terengganu telah ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana terlibat dalam pelbagai kes jenayah narkotik.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata selain narkotik atau dadah, seramai 71 pelajar ditangkap kerana terlibat dalam jenayah lain seperti mencuri motosikal dan harta benda.

"Statistik yang dipaparkan ini agak membimbangkan kerana ia melibatkan pelajar sekolah dan IPT (institusi pengajian tinggi)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.


Beliau berkata dalam tempoh yang sama, indeks jenayah di negeri itu menunjukkan penurunan sebanyak 25 peratus dengan merekodkan sejumlah 2,066 kes berbanding 2,755 pada tahun lepas.

Katanya, penurunan paling ketara melibatkan kes jenayah kecurian harta benda manakala jenayah kekerasan pula meningkat sebanyak 22.7 peratus dengan merekodkan sebanyak 249 kes berbanding 203 kes pada tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pasukan Gerakan Marin akan ditempatkan di balai kosong di pesisir pantai bagi membantu mencegah jenayah setempat dalam masa terdekat.

Katanya mereka juga akan ditempatkan di kawasan pulau seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

No comments:

Post a Comment