Seramai 49 penduduk gembira selepas usaha mereka memohon tanah di kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Kubur, Kota Putera sejak tiga tahun lalu akhirnya diluluskan kerajaan.
Semalam mereka menerima Jadual 5A sebagai tanda tanah tersebut akan menjadi milik mereka yang disampaikan dalam satu majlis di Balai Serbaguna Pengkalan Kubur.
Masing-masing menerima tanah tapak rumah seluas kira-kira 0.2 hektar dengan bayaran premium kira-kira RM1,500.
Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof yang turut dihadiri oleh Pentadbir Tanah Besut, Tuan Mamat Tuan Ngah.
Pehimi dalam ucapannya meminta penerima agar tidak membiarkan tanah mereka dipenuhi semak samun sebaliknya membina rumah yang sesuai.
Katanya, terdapat beberapa kes di mana penerima tidak membina rumah di atas tanah pemberian kerajaan itu namun hanya membiarkannya sehingga diambil balik oleh kerajaan.
"Jika keadaan itu berlaku, timbul pula masalah apabila penerima mula mendesak kerajaan untuk memberikan semula tanah yang telah diambil selain ada pula yang meminta kerajaan menggantikannya dengan tanah di tempat lain,'' katanya.
Sementara itu beberapa penerima yang ditemui selepas majlis itu melahirkan rasa syukur dan gembira dengan pemberian itu yang sememangnya dinantikan mereka sejak sekian lama.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gerda Mas/Pengkalan Kubur, Rakman Awang Seman berkata, kesemua penerima melahirkan rasa lega kerana impian mereka tercapai.
"Dengan adanya sijil jadual 5A tersebut mereka tidak lagi merasa risau sebaliknya akan berusaha membina rumah di atas tanah itu," jelasnya.
Mohamad Deris, 42, yang bekerja sebagai buruh berkata, dia amat bersyukur kerana tanah yang diidamkan selama ini sudah menjadi miliknya dan berterima kasih kepada kerajaan.
"Walaupun mempunyai tujuh anak tetapi saya gembira kerana ada tanah sendiri yang boleh menjadi tempat tinggal kami sekeluarga tanpa perlu menumpang di tanah orang lain, "katanya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Mek Mas Mohamad, 48, berkata, dia merasa bertuah kerana terpilih untuk menerima tanah tersebut yang bakal diwarisi oleh tiga anaknya yang berumur antara 18 hingga 27 tahun.
No comments:
Post a Comment