Thursday, July 29, 2010

Hong Leong Islamic Bank Buka Cawangan Ke-empat

Hong Leong Islamic Bank Berhad (HLISB), anak syarikat Hong Leong Bank Berhad (HLBB) membuka cawangan pertamanya di Terengganu yang menjadikan jumlah keseluruhan cawangannya kepada empat di seluruh negara pada masa ini.

Pengarah Urusan HLISB Hijah Arifak Othman berkata cawangan HLISB itu merupakan cawangan ke-dua di Pantai Timur dan yang ke-empat selepas Kota Bharu, Shah Alam dan Kuala Lumpur selepas HLISB dilancarkan secara rasmi pada 19 Julai 2005.

"Pembukaan ini adalah untuk memenuhi peningkatan keperluan pelanggan kami di Pantai Timur yang merupakan kawasan pertumbuhan pesat untuk perbankan Islam dan merupakan langkah penting untuk memperluaskan lagi liputan kami sambil memperkukuhkan lagi hubungan dengan pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian cawangan baru HLISB di Jalan Sultan Ismail di Kuala Terengganu semalam yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah.

Hijah berkata cawangan terbaru itu merupakan cawangan pertama HLISB yang mempunyai ciri-ciri kontemporari dan menjadi penanda ukur bagi cawangan baru HLISB di masa akan datang.

Selain reka bentuk dalaman yang lebih moden, katanya dewan perbankan juga dilengkapi dengan terminal layar sesentuh, papan isyarat digital dan sudut khas untuk perbankan elektronik dengan terminal layan diri untuk keselesaan pelanggan.

"Cawangan ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan inovatif yang menyeluruh, yang bersesuaian dengan prinsip syariah dan penyelesaian yang meliputi aspek seperti kewangan berstruktur, pasaran modal, perkhidmatan kewangan, dan pengurusan kekayaan peribadi," katanya.

Beliau berkata HLISB menyokong penuh hasrat kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam dan dengan pembukaan cawangan baru itu diharap dapat memperluaskan lagi produk dan perkhidmatan baru inovatif berlandaskan syariah di pasaran.

No comments:

Post a Comment