Tuesday, July 13, 2010

Ahmad Said - Penjawat Awam Menyeleweng Tidak Akan Terlepas

Ahmad Said ditanya mengenai isu penyelewengan oleh penjawat awam oleh wartawan Utusan Malaysia (berdiri dua dari kanan semalam).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said semalam diasak dengan soalan-soalan mengenai aduan ada penjawat awam di Terengganu melakukan penyelewengan berikutan kenyataannya di Kemaman.
Antara soalan ialah berapa ramai, jabatan mana dan siapa mereka?

Namun, Ahmad Said mengelak mendedahkannya ketika ini tetapi tetap berjanji bahawa mereka yang didapati melakukannya, tidak akan terlepas daripada tindakan.

Wartawan Utusan Malaysia mengemukakan lebih tiga soalan mengenai perkara ini pada sidang media selepas penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah dan e-Book di Sekolah Kebangsaan Paya Resak, Marang.

Di Kemaman kelmarin, Ahmad Said berjanji akan terus turun padang melakukan pemeriksaan mengejut ke jabatan-jabatan kerajaan berasaskan aduan mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa yang diterima daripada orang ramai.

Beliau mengingatkan sekiranya terbukti penjawat awam melakukan kesalahan seperti yang didakwa pengadu, mereka tidak akan dilindungi dan perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Menurutnya, beliau ada menerima aduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laporan bahawa terdapat perbuatan salah guna kuasa dalam beberapa jabatan kerajaan negeri.

"Saya beri amaran jika perkara ini berterusan berlaku, saya sendiri akan turun bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat pemeriksaan mengejut," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam bagi daerah Kemaman kelmarin.

Di Marang semalam, Ahmad Said menegaskan akibat perbuatan sesetengah penjawat awam, Kerajaan Negeri dipersoalkan kewibawaannya.

“Yang disalahkan Kerajaan Negeri dan orang politik tetapi yang melakukan penyelewengan dan sebagainya penjawat awam. Ini tidak adil,” katanya.

Apapun, Menteri Menteri berjanji akan menyelidik perkara itu dengan teliti dan tidak akan bertindak hanya berasaskan laporan atau sms.

Beliau berjanji akan menyiasat dan menjamin agar tiada penjawat awam yang teraninya kerana tuduhan penyelewengan memerlukan siasatan yang menyeluruh.

Di Kemaman, Ahmad Said mengingatkan kakitangan kerajaan supaya berhati-hati dalam apa jua tindakan dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah demi kepentingan rakyat.

"Saya juga mahu semua urusan rakyat disegerakan dan jangan dilengahkan. Kita harus beri perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Ahmad berkata, beliau telah memaklumkan mengenai aduan itu untuk diteliti oleh ketua-ketua jabatan berkenaan.

Beliau turut meminta penjawat awam tidak mensabotaj kerajaan termasuk melengah-lengahkan penyaluran bantuan serta menyebarkan dakyah yang tidak betul mengenai dasar-dasar kerajaan.

''Mengundi adalah hak peribadi, kita minta mereka hormat kepada kerajaan dan jangan buat kerja sewenang-wenangnya sehingga menyusahkan orang ramai yang sering berurusan dengan kerajaan," katanya.


Pada majlis itu, Menteri Besar juga menyampaikan bantuan pakaian persekolahan melalui wakil Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung.

Ahmad Said melayani permintaan seorang warga tua selepas majlis penyampaian e-Book di Paya Resak semalam.

No comments:

Post a Comment