Tuesday, July 13, 2010

Lebih 70,000 MyKid belum dituntut

Lebih 70,000 MyKid yang dikeluarkan untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun masih belum dituntut di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh negara.

Berikutan itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Alwi Ibrahim, berkata semua ibu bapa perlu bersikap lebih bertanggungjawab dan mengambil segera MyKid anak masing-masing bagi mengelakkan ia terus dilambakkan di JPN. Katanya, JPN mengeluarkan MyKid untuk kanak-kanak bawah 12 tahun secara percuma yang diproses dalam masa sebulan selepas sijil kelahiran dikeluarkan.

"MyKid bersaiz MyKad adalah untuk kemudahan ibu bapa membawanya apabila diperlukan untuk sesuatu urusan dan boleh disimpan dalam beg duit, tanpa perlu membawa sijil kelahiran yang berukuran kertas A4,” katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JPN peringkat Zon Timur di Kuala Terengganu, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sejak bila MyKid itu tidak dituntut sehingga jumlahnya difahamkan semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Ditanya punca MyKid itu tidak dituntut, Alwi berkata, ibu bapa mungkin menganggap dokumen berkenaan kurang penting apabila sudah mempunyai sijil kelahiran yang menjadi rujukan untuk pelbagai urusan.

Katanya, ibu bapa berasa sudah mencukupi dengan mempunyai dokumen sijil kelahiran untuk berurusan dengan mana-mana pejabat kerajaan dan pihaknya yang memerlukannya dokumen berkenaan untuk sebarang rujukan.

No comments:

Post a Comment