Monday, July 5, 2010

Batalkan Terus Penerbitan Suara Keadilan

PENGURUS Besar FELDA Wilayah Terengganu, Abd Malik Abdul Rani (tengah) dijulang warga FELDA sambil mengangkat sepanduk di perkarangan Pejabat Felda Wilayah Terengganu di Tepuh, Kuala Terengganu, hari ini. Perhimpunan aman ini memprotes dakwaan akhbar Suara Keadilan mengatakan FELDA bankrap dan menyokong tindakan menyaman akhbar berkenaan. - Foto Berita Harian

Warga Felda Wilayah Terengganu semalam menggesa kerajaan supaya membatal atau mengharamkan terus penerbitan akhbar Suara Keadilan mulai sekarang.

Timbalan Pengerusi Belia Felda Wilayah Terengganu Mahadi Mohamad, 38, berkata tindakan itu perlu dibuat berikutan tindakan lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyiarkan berita berunsur fitnah dengan menyatakan Felda bankrap.

Beliau berkata tidak mungkin Felda bankrap kerana Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan itu mampu membayar dividen sehingga 14 peratus kepada peneroka setiap tahun.

"Kami warga Felda bersetuju dan menyokong penuh pengurusan Felda menyaman PKR yang membuat tuduhan tanpa usul periksa," katanya pada perhimpunan secara aman di ibu pejabat Felda wilayah Terengganu semalam yang turut dihadiri Pengurus Besar Wilayah Abd Malib Abd Rani.

Mahadi berkata sekiranya Felda bankrap, tidak mungkin agensi itu dapat meluluskan penempatan baru bagi generasi kedua di Felda Nerang Satu, di Kemaman.

Seorang peneroka dari Felda Tersat, Hulu Terengganu, Fatimah Mohamad, 48, pula berkata beliau kesal dengan dakwaan yang dibuat oleh Suara Keadilan itu.

"Kalau Felda bankrap, kenapa Felda masih mampu membayar sara hidup sebanyak RM1,000 sebulan kepada semua peneroka di seluruh negara sedangkan ada peneroka yang tidak mempunyai hasil berikutan pokok-pokok sawit baru ditanam semula.

"Mereka ni tahu dari mana Felda bankrap. Siasatlah dulu, jangan buat tuduhan sebarangan kerana kami di Felda kini hidup senang lenang sekarang berbanding sebelum jadi peneroka," katanya.

Pada perhimpunan itu, 300 daripada 7,133 peneroka seluruh Terengganu berhimpun dan menandatangani kain rentang dan membawa sepanduk bagi melahirkan bantahan mereka terhadap Suara Keadilan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar berkenaan yang tamat dua hari lepas.

Semalam, KDN masih belum membuat keputusan berhubung permohonan pembaharuan permit penerbitan Suara Keadilan.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab. Samad menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa KDN sedang meneliti dan mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan itu.

"Kementerian masih belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan tersebut," katanya.
Katanya, kenyataan yang mengatakan kementerian telah menggantung permitpenerbitan Suara Keadilan adalah tidak benar dan tidak berbangkit sama sekali.

Beliau berkata, keputusan berhubung pembaharuan permit itu hanya akan dibuatsetelah mendapat penjelasan yang memuaskan daripada pihak penerbitan Suara Keadilan. Zaiton juga memaklumkan bahawa permit penerbitan Suara Keadilan telah tamat tempoh sah laku pada 30 Jun lalu dan permit yang diberikan sebelum ini adalah bagi tempoh satu tahun iaitu dari Julai 2009 hingga 30 Jun lalu.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa KDN memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat akhir bulan lepas setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi penerbitan itu berhubung beberapa perkara.

Antaranya, pihak KDN dilaporkan tidak berpuas hati dengan penjelasan editor akhbar berkenaan Dzulkarnain Taib, berhubung penyiaran artikel bertajuk Felda Bankrap.

Di akhir perhimpunan itu, Abd Malib menyampaikan sumbangan RM21,000 kepada 21 buah Majlis Belia Felda Malaysia Wilayah Terengganu.

Sumbangan Jabatan Pembangunan Masyarakat Felda sebanyak RM1,000 setiap persatuan itu adalah bagi urusan pentadbiran persatuan masing-masing.

No comments:

Post a Comment