Friday, July 23, 2010

Bazar Ramadan - MBKT Sedia 2,815 Petak Perniagaan

Sebanyak 2,815 petak disediakan di 21 lokasi bazar Ramadan seluruh daerah Kuala Terengganu kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan sepanjang bulan puasa.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata, bermula Ramadan tahun ini semua lokasi dan perniagaan akan diserah sepenuhnya kepada persatuan peniaga di setiap kawasan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Gambar Fail: Bazaar Ramadan MBKT di Dataran Syahbandar Ramadan lepas .

“Kita mengambil keputusan untuk menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada persatuan peniaga dan JKKK kerana mereka lebih me-ngetahui setiap kehendak dan masalah sepanjang berurus niaga di kawasan yang dikenal pasti.

“MBKT hanya menyediakan tempat sahaja dengan kadar bayaran sewa RM70 bagi lokasi di kawasan bandar dan RM50 untuk luar bandar sepanjang tempoh satu bulan,” katanya.

Menurutnya, petak pasar Ramadan yang paling banyak disediakan adalah di tiga lokasi utama iaitu di Pasar Kedai Payang 300 petak, Pasar Chabang Tiga 299 petak dan Dataran Shahbandar 216 petak.

“Manakala bagi tapak pasar malam sepanjang bulan puasa ini turut disediakan di Dataran Shahbandar dengan kapasiti 700 petak untuk peniaga kesemuanya.

“Semua surat tawaran telah dikeluarkan melalui persatuan peniaga dan penawaran petak serta lokasi sama seperti tahun sebelumnya,” katanya sempena Hari Bertemu Pelanggan di pekarangan lobi pejabat MBKT, Kuala Terengganu, semalam.

Adzlan menambah, semua peniaga diharap dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan terutamanya dari segi kebersihan makanan agar tidak berlaku masalah keracunan makanan kepada pengguna.

“Kita akan memastikan penguatkuasaan terhadap tapak gerai dilakukan dari masa ke masa sebagai langkah awal mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.

“Seboleh-bolehnya se-tiap peniaga dapat mengikut etika yang sepatutnya seperti mempunyai kad kesihatan dalam penyediaan makanan bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment