Friday, July 23, 2010

Penutupan Taman Laut Di Terengganu Tidak Jejas Kehadiran Pelancong

Pulau Rendang tetap menjadi tarikan kunjungan pelancong.

Penutupan lima kawasan pulau taman laut di Terengganu kepada aktiviti rekreasi khususnya selaman dan snokeling dijangka tidak menjejaskan jumlah kedatangan pelancong ke negeri itu.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata ini

kerana terdapat banyak lagi lokasi lain yang masih menjadi tumpuan pelancong untuk aktiviti tersebut.

"Di Terengganu kita mempunyai banyak lokasi penyelaman dan snokeling, sehubungan itu penutupan sementara lima kawasan pulau taman laut di negeri ini dijangka tidak akan memberi kesan kepada jumlah kedatangan pelancong," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau memberi contoh di Pulau Redang sahaja terdapat 20 lokasi selaman yang sering menjadi tumpuan penyelam dari dalam dan luar negara, sementara di Pulau Perhentian pula terdapat 30 hentian selaman.

Selain itu katanya, tidak semua pelancong yang datang ke pulau-pulau di negeri itu melakukan aktiviti selaman dan snokeling, tetapi sekadar menikmati keindahan pantai dan pemandangan.

Tasik Kenyir, antara destinasi pilihan pelancong di Terengganu.

Semalam Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Abd Jamal Mydin dilapor berkata sembilan kawasan di pulau-pulau yang diwartakan sebagai taman laut dan tiga buah pulau lain di dalam perairan taman laut di seluruh negara ditutup sementara bagi semua aktiviti rekreasi.

Penutupan yang berkuatkuasa 2 Julai lepas sehingga 31 Okt ini berikutan kelunturan karang yang mencapai tahap 60 hingga 90 peratus.

Di Terengganu lima kawasan terlibat ialah Pulau Redang (Teluk Bakau), Pulau Tenggol (Teluk Air Tawar), Pulau Perhentian Besar (Teluk Dalam) dan Pulau Perhentian Besar( Tanjung Tukas Darat dan Tanjung Tukas Laut).

Mengulas lanjut, Ahmad Fathil berkata kerosakan batu karang di kawasan terlibat bukan disebabkan aktiviti selaman dan snokeling semata-mata tetapi turut disebabkan faktor cuaca.

"Fenomena kelunturan karang juga disebabkan perubahan suhu dalam air dari 28 darjah celcius sehingga 30 darjah celcius," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tetap mennyambut baik langkah Jabatan Taman Laut Malaysia itu sebagai usaha pemulihan batu karang di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment