Saturday, July 24, 2010

Cegah Hakisan Pantai Kemaman Antara Strategi Kawal Hakisan Pantai Negara

Kerajaan melaksanakan strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi program mengawal masalah hakisan pantai, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup.

Joseph memaklumkan antara projek pembinaan struktur kawalan hakisan pantai yang telah dilaksanakan adalah projek mencegah hakisan Pantai Kemaman, Terengganu dengan kos RM79 juta, projek mencegah hakisan pantai Kuala Sala Kecil dan Kampung Kangkung di Yan, Kedah dengan kos RM157.7 juta dan projek mencegah hakisan pantai Miri-Kuala Baram, Sarawak dengan kos RM8.6 juta.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan akan menyelamatkan 1,414 km atau 29.4 peratus daripada 4,809 km pantai di negara ini yang menghadapi masalah hakisan.

Dalam RMK-9, kerajaan memperuntukkan RM406 juta untuk program kawalan hakisan pantai dan daripada jumlah itu, RM387.5 juta digunakan untuk pembinaan struktur kawalan hakisan pantai di kawasan kritikal sepanjang 288.4 km, katanya pada persidangan Dewan Negara kelmarin.

Setakat ini kawasan pantai kritikal sepanjang 140km telah berjaya dipertahankan," katanya menjawab soalan Senator Mohd Khalid Ahmad yang ingin tahu tindakan-tindakan yang telah dan akan diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang serius sepanjang 1,300 km atau 29 peratus daripada 4,800 km jalur pantai dan unjuran peningkatan paras laut di Malaysia.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menyediakan Pelan Pengurusan Persisiran Pantai Bersepadu di mana sebanyak RM18.5 juta diperuntukkan di bawah RMK-9 untuk penyediaan pelan tersebut bagi langkah jangka panjang mengawal masalah itu.

"Antara pelan yang telah disiapkan ialah ISMP Negeri Sembilan dengan kos RM2.2 juta, manakala ISMP Melaka, Labuan, Pulau Pinang dan Miri sedang dalam pelaksanaan. ISMP Pahang pula telahpun siap di bawah RMK-8," katanya.

Mengenai peningkatan paras air laut, Joseph berkata kajian National Coastal Vulnerability Index (NCVI) yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran yang siap pada 2008, mendapati pantai barat Langkawi dan pantai Tanjung Piai, Johor akan mengalami peningkatan paras air laut sebanyak 10 hingga 13cm dalam tempoh 100 tahun akan datang.

"Selain itu, pihak Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang menjalankan kajian kesan pemanasan global terhadap aras laut negara dan hasil kajian dijangka siap pada penghujung tahun ini," katanya.

No comments:

Post a Comment