Saturday, July 24, 2010
Pengusaha Diminta Tidak Bimbang Penutupan Sementara Taman Laut
Pengusaha pelancong terutama di pulau-pulau luar pantai di Terengganu diminta tidak bimbang dengan penutupan sementara beberapa tempat menyelam di taman-taman laut di negeri itu.
Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawas Mamit berkata, di Terengganu terdapat 13 taman laut yang menyediakan 50 pusat menyelam iaitu 30 di Pulau Perhentian, 20 di Pulau Redang dan 10 lagi di Pulau Tenggol.
"Hanya lima pusat menyelam sahaja ditutup iaitu tiga di Pulau Perhentian, masing-masing sebuah di Pulau Redang dan Pulau Tenggol selama tiga bulan bagi memulihkan terumbu karang yang rosak," katanya ketika melawat Pulau Redang semalam.
Turut serta pada lawatan itu Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri Ahmad Fathil Abdul Ghani.
Katanya usaha pemulihan batu karang itu juga akan dilakukan di lokasi-lokasi menyelam lain yang menghadapi masalah sama secara berperingkat.
Dalam perkembangan lain beliau berkata aspek pengurusan alam sekitar terutama di pulau-pulau yang menjadi tumpuan pelancong masih lemah dan perlu diperbaiki.
"Saya banyak mendapat aduan terutama dari pelancong asing berhubung pengurusan alam sekitar yang kurang baik termasuk di Pulau Langkawi yang tidak begitu sempurna," katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, langkah segera perlu diambil untuk memastikan masalah berkenaan tidak berterusan, terutama dengan mengurus dan merawat kubahan dan sisa buangan dengan sempurna.
salam ziarah,selamat aidilfitri
ReplyDelete