Saingan di atas trek Stadium Sultan Mizan Gong Badak sepanjang 932 meter bukan gelanggang asing buat kebanyakan pelumba tanahair memandangkan trek Gong Badak pernah menjadi hos sebanyak dua musim sebelum ini.
Secara keseluruhannya, trek Gong Badak mempunyai enam selekoh kanan dan dua selekoh kiri berteknikal sekali gus memberi cabaran berbeza dari saingan di Litar Antarabangsa Sepang sebelum ini.
Perubahan drastik yang dialami para pelumba selepas beraksi di Pusingan 4 (trek panjang dan lebar) Jun lepas ke Pusingan 5 (trek pendek dan sempit) di Gong Badak ini, sekali gus menjanjikan saingan menarik perlumbaan ini.
Dengan perlumbaan kini memasuki fasa pertengahan musim, cabaran yang dialami para pelumba dilihat cukup sengit. Semua kategori memasuki peringkat paling sukar dengan mereka (pelumba) harus mengambil peluang mengutip seberapa banyak mata di sini sekali gus mengekalkan kedudukan mereka bagi buruan mahkota keseluruhan.
Buat masa ini, cabaran bagi kategori CP130, CP115 dan Wira masih lagi terbuka dan andai mereka berjaya mendapat podium di Kuala Terengganu kelak, kedudukan juga berubah. Untuk rekod, kedudukan lima pelumba teratas bagi semua kategori cukup rapat dan hanya pelumba yang berjaya mengekalkan prestasi konsisten, memiliki peluang cerah mengejar mahkota juara keseluruhan.
Untuk rekod bagi kategori CP130, Ahmad Fazli Sham dari Shell Advance Yamaha Maju masih menerajui kedudukan dengan 76 mata namun Fazli sekadar memiliki kelebihan tipis 7 mata ke atas pencabar di tempat kedua, Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) yang mengumpul 69 mata selepas mengharungi empat pusingan.
Sementara itu, bagi kategori CP115, pelumba muda berusia 14 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli dari PETRONAS Sprinta Yamaha AHM masih kekal menerajui cabaran untuk menepis cabaran pelumba senior, Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) namun hanya dibezakan hanya 5 mata.
Ramdan mengumpul 81 mata sementara Iskandar di tempat kedua dengan 76 mata. Bagi cabaran kategori Wira, lima pelumba teratas masih berpeluang merapatkan jurang masing-masing apabila mereka dibezakan dengan angka yang cukup tipis.
Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment