Wednesday, July 7, 2010

Kem MyHeSS Eksekutif 2010 Fasa Kedua

Sesi perbincangan terbuka mengenai tahap kesihatan peserta. Kelihatan Pengerusi Jawantankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Dr Abdul Rahman Mokhtar ikut serta.

Penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, jantung koronori dan angin ahmar merupakan penyebab utama kematian dan beban penyakit di Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini berkata, kemasukan kes penyakit kronik ke hospital kerajaan juga menunjukkan trend peningkatan.

Menurutnya, fakta pada 2003 menunjukkan sebanyak 14.41 peratus daripada 36,354 kematian di hospital kerajaan negara ini disebabkan penyakit jantung manakala 8.27 peratus angin ahmar.

“Fakta menunjukkan bahawa kebanyakan penyakit kronik berpunca daripada kombinasi faktor pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal, stres dan tabiat merokok,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menyatakan kebimbangan mengenai kesihatan penjawat awam, khususnya kakitangan peringkat atasan yang menjadi pegawai penting negeri mahukan mereka sentiasa sihat dan bebas daripada penyakit kronik.

Berikutan itu, Kem MyHeSS Eksekutif 2010 Fasa Kedua diadakan Rabu lalu (30 Jun 2010) dengan beberapa program yang disusun, sekali lagi dihadiri Menteri Besar serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Sesi pertama kem itu dijalankan 2 dan 3 Jun lalu dan membabitkan hampir 50 penjawat awam Kerajaan Negeri.

Program meliputi pemeriksaan, khidmat nasihat dan penjagaan kesihatan untuk penjawat awam itu akan membabitkan interpretasi keputusan penilaian kesihatan, kaunseling penilaian kesihatan termasuk tahap kesihatan, tahap kecerdasan dan pemakanan selain ceramah minda sihat.

Melalui program itu, semua pemeriksaan dilakukan meliputi pemeriksaan fizikal, berat badan, kandungan lemak dalam tubuh dan pemeriksaan darah.

Selain itu, juga dijalankan ujian kecergasan bagi melihat tahap kecergasan dalam badan sama ada stabil atau memerlukan sesi rawatan selanjutnya.

Bagi Fasa Kedua, peserta seramai 20 orang diberikan keputusan ujian sambil menghadiri ceramah mengenai pemakanan, cara-cara melakukan kecergasan dan aktiviti fizikal yang betul dan nasihat percuma mengenai kesihatan.

Dr Nordiyanah Hassan menjelaskan, pemeriksaan kesihatan secara teratur dan berjadual terutama kepada barisan kepimpinan negeri sangat penting bagi memantapkan sistem pentadbiran supaya tahap produktiviti dapat dipertingkatkan.

Katanya, program kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) itu merupakan program pemeriksaan kesihatan tahunan.

Antara pegawai tinggi kerajaan yang hadir.

No comments:

Post a Comment