Dewan Negara meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) selepas dibahas selama lima hari dan penggulungan selama dua hari.
Usul berkenaan dipersetujui sebulat suara oleh semua anggota Dewan semalam.
Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mengingatkan sekali lagi kepada semua Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai supaya mengambil berat mengenai perbahasan yang dijalankan di Dewan Negara.
"Saya berharap semua Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai mengambil berat perbahasan yang dijalankan kerana apa yang kita bahaskan di Dewan yang mulia ini, adalah satu perkara yang sangat penting untuk semua," katanya.
RMK-10 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 10 Jun lepas yang menggariskan perbelanjaan pembangunan negara ke arah memacu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.
RMK-10 yang bertemakan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial telah mencadangkan peruntukan berjumlah RM230 bilion untuk perbelanjaan sepanjang tempoh lima tahun.
Rancangan strategik yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 30 Jun lepas dirangka supaya selari dengan sasaran negara untuk muncul sebagai negara maju menjelang 2020.
Antara teras utama RMK-10, termasuk mencarta pembangunan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada RM38,845 pada 2015.
Selain itu, ia juga mensasarkan pertambahan peluang pekerjaan di negara ini kepada 13.2 juta pekerjaan menjelang 2015.
RMK-10 turut merancang meningkatkan jumlah modal insan tempatan yang berkualiti selain menarik kehadiran tenaga profesional dari luar ke Malaysia.
No comments:
Post a Comment