Irfan Bakti menganggap insiden tersebut sebagai pengajaran yang perlu dijadikan iktibar buat pasukannya untuk lebih matang.
Malah, Irfan dengan rasa tanggungjawab menerima hukuman tersebut dan meletakkan kesalahan itu di atas bahunya.
"Saya bertanggungjawab, pihak pengurusan bertanggungjawab dan kami semua bertanggungjawab. Secara jujurnya, ini adalah kesalahan saya dan secara peribadinya ia berpunca daripada kelalaian kami terhadap aspek teknikal.
"Ia adalah kesalahan teknikal dan ia berlaku di dalam tempoh 24 jam. Jika ia berlaku selepas tempoh tersebut ia tidak menjadi masalah," katanya.
Beliau mengulas isu Terengganu yang dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas melanggar peraturan perlawanan dengan menurunkan pemain yang sama untuk dua pasukan berbeza dalam tempoh 24 jam.
Kesalahan itu dilakukan selepas Terengganu menurunkan Mohd. Zubir Mohd. Azmir pada perlawanan menentang Johor FC 6 Julai, iaitu kurang 24 jam selepas pemain itu beraksi untuk pasukan Piala Presiden Terengganu.
Dalam pada itu, Irfan secara profesional mengakui Zubir memang layak untuk beraksi pada perlawanan berkenaan.
"Zubir tidak bersalah dalam hal ini kerana dia memang layak untuk bermain, jadi saya tidak pernah menyesal membuat keputusan dengan menurunkan Zubir pada perlawanan itu,"ujarnya.
Ketika ditanya adakah hukuman itu menjejaskan corak permainan pasukannya, Irfan menafikan sama sekali ,sebaliknya meluahkan rasa bangga apabila pasukannya berjaya menewaskan pasukan Perlis pada perlawanan kedua menentang pasukan tersebut di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.
Jelasnya, Terengganu yang kini menghuni kedudukan ketiga Liga Super, berjaya mempamerkan permainan yang hebat dengan menewaskan Perlis 4-2.
No comments:
Post a Comment